Inkues Nora Anne ditangguhkan 14 Sept

SEREMBAN, 4 SEPT – Prosiding inkues bagi mencari punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban ditangguh ke 14 September, setelah berlangsung selama dua minggu.

Koroner Maimoonah Aid membuat ketetapan itu pada prosiding hari ini dan memutuskan, dua saksi akan dipanggil memberi keterangan pada pro-siding yang dijadualkan berlangsung sehari itu.

Terdahulu, posiding inkues berkenaan yang berlangsung di hadapan Maimoonah bermula 24 Ogos lepas, menyaksikan seramai 14 daripada 64 saksi kes berkenaan, telah memberi keterangan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas beliau dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara. Pada 13 Ogos 2019, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa. – Bernama

Anggota polis mengangkat tingkap di vila penginapan remaja yang hilang bagi membantu proses prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban, kelmarin. – Bernama