Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Pelancaran makmal inovasi DST tersendiri, InnoLab, merupakan sumbangan DST kepada masyarakat bagi melahirkan individu lebih inovatif dan produktif di mana golongan belia, perniagaan dan juga kerajaan akan mempunyai akses kepada InnoLab untuk memupuk kreativiti mereka serta untuk melaksanakan idea-idea mereka itu.
Usaha itu juga selaras dengan visi Pelan Induk Ekonomi Digital di mana penubuhan InnoLab bermatlamat memberikan inspirasi kepada inovasi, jelas Ketua Pegawai Eksekutif Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Radin Sufri bin Radin Basiuni dalam ucapannya pada pelancaran InnoLab yang berlangsung Ibu Pejabat DST, Tungku Link, hari ini.
Hadir bagi menyempurnakan pelancarannya ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.
Radin Sufri dalam ucapannya lagi menjelaskan bahawa InnoLab menggabungkan ilmu pengetahuan, bantuan kemahiran dan teknologi di mana ia ditransformasikan menjadi perkhidmatan atau produk yang boleh menjana pekerjaan baharu, membangunkan bakat dan penyelesaian digital bagi menjadikan dunia kita sebuah tempat yang lebih baik.
Beliau menerangkan ia juga akan dapat menjana dan memupuk pemikiran, pendekatan, disiplin dan ketabahan yang diperlukan di mana jika mereka menghadapi kegagalan, mereka dapat mengambil iktibar darinya serta menjadikannya sebagai satu langkah dan laluan ke arah kejayaan.

Bagi mencapai hasrat itu, jelas Radin Sufri, ia dapat dilaksanakan melalui dua cara iaitu pertama, dengan mendidik dan memupuk akar umbi mengenai pentingnya inovasi serta teknologi di semua segmen dalam perniagaan baharu, akademik, keusahawanan, swasta, korporat dan kerajaan.
Cara kedua ialah dengan menjana dan memberikan inspirasi kepada sebuah komuniti di mana mereka akan diberikan sokongan melalui rangka kerja sokongan mentor dan peluang-peluang lain bagi mengangkat inovasi mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau turut menyatakan bahawa DST akan memperkenalkan lima program pada tahun 2020 yang mana bahagian pertama ialah Pemangkin (Catalyst) iaitu DST bekerjasama dengan rakan akademiknya, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan rakan keusahawanannya, Darussalam Enterprise (DARe), bermula April depan, di mana program rintis berkenaan akan bermula dengan menyediakan platform bagi pelajar-pelajar dan graduan universiti serta membimbing mereka ke dalam dunia keusahawanan.
“Kami menyediakan mereka peluang-peluang untuk bergerak menjangkau lebih daripada hanya sebuah idea tetapi untuk benar-benar membangunkannya,” ulas Radin Sufri.
Beliau berharap pada suatu hari nanti, para pelajar dan graduan berkenaan akan berpeluang untuk menjalankan perniagaan sebenar mereka dan menjana pekerjaan bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi juga untuk orang lain.
Beliau mendedahkan bahawa pada suku kedua hingga suku keempat 2020, DST akan menjalankan empat program lain yang merangkumi empat topik iaitu Innovate or Get Left Behind, Market Access, Industry 4.0 dan Innovate with Government.
Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib dan para jemputan khas dibawa untuk melawat serta diberikan penerangan mengenai aktiviti yang dilaksanakan di InnoLab.
DST percaya bahawa inovasi bukan sahaja mengenai penggunaan teknologi tetapi ia merupakan transformasi ilmu pengetahuan seseorang individu untuk menghasilkan sebuah produk atau perkhidmatan baharu yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat.
Dengan pemikiran dan pendekatan yang betul, DST percaya bahawa impian seseorang individu berkenaan boleh dijadikan realiti.