Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Universiti Brunei Darussalam (UBD) melancarkan Innovation Festival 2025 yang juga dikenali sebagai InnovFest iaitu sebuah festival inovasi dan keusahawanan yang berjalan selama empat hari.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan InnovFest 2025 ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle yang berlangsung di Inspiring Hub, UBD, hari ini.
Dalam ucapan perasmian, Dr Hazri menekankan bahawa InnovFest 2025 dipandu oleh Pelan Induk Keusahawanan UBD, dengan visi jangka panjang untuk menjadikan UBD sebagai pemangkin inovasi dan pembangunan ekonomi dalam pendidikan, penyelidikan dan penglibatan masyarakat.
Selain itu, beliau turut menekankan pengiktirafan global yang berprestij baru-baru ini, iaitu 2025 Babson Collaborative Spotlight Award yang berlangsung di Paris, yang telah dianugerahkan kepada Pembangunan Usahawan dan Penglibatan Industri (IEED) dan pasukan pengurusan keusahawanannya.
Beliau turut menegaskan UBD merupakan institusi pertama di Asia yang menerima pengiktirafan itu, sekali gus membuktikan komitmen UBD dalam memupuk kepimpinan, kerjasama dan semangat berpasukan. InnovFest 2025 dianjurkan oleh Pejabat Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan) dengan menghimpunkan para pelajar, para penyelidik, pakar-pakar industri, ahli-ahli keusahawanan dan orang awam dalam meraikan idea dan kreativiti bersama melalui jaringan kolaborasi dan pembangunan keusahawanan yang mampan. Penolong Naib Canselor, IEED, Dr Masairol Haji Masri dalam ucapan alu-aluan antara lain menjelaskan InnovFest 2025 merupakan penjenamaan semula kepada Festival Inkubasi yang diadakan sebelum ini.
“Penjenamaan ini dibuat bagi mencerminkan misi yang lebih luas, iaitu mewujudkan platform yang inklusif yang mengalu-alukan penyertaan pelajar dari semua fakulti, penyelidik pascasiswazah, tenaga akademik, serta pemegang taruh industri untuk mempamerkan inovasi, prototaip dan penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan,” jelasnya. Di majlis itu, tetamu kehormat telah mengadakan lawatan ke ruang dan petak pameran projek.
Sepanjang InnovFest 2025 berlangsung, para pelajar UBD yang mengikuti program seperti Discovery Year U-beyond Incubation, Venture Lab dan Entrepreneurship for Digital Scientists akan mempamerkan hasil kerja mereka kepada khalayak ramai, khususnya kepada para akademik dan industri.
Acara itu turut menampilkan pameran projek penyelidikan, yang memperlihatkan hasil penyelidikan terkini dan model inovatif oleh para pensyarah serta pelajar pascasiswazah UBD, sekali gus membuka peluang untuk pertukaran ilmu, kerjasama merentas sektor dan penglibatan awam terhadap penyelidikan semasa universiti.
Selain pameran projek, InnovFest 2025 turut menampilkan pengisian program dinamik termasuk bengkel keusahawanan untuk pelajar sekolah-sekolah dan kolej-kolej yang berkunjung.
Di samping sesi ceramah perniagaan bersama tokoh-tokoh permulaan (startup) yang dikenali di Brunei Darussalam, serta Sesi Ceramah Pemimpin Peniaga Muda.
Stesen Spark & Create turut menyediakan aktiviti interaktif untuk para peserta yang lebih muda seperti permainan pendidikan, stesen seni dan Treasure Hunt bertemakan keusahawanan, antara lain bertujuan untuk menyemai minat dan ilham kepada generasi akan datang.
Pameran Petak Alumni & Rakan Industri UBD pula mengetengahkan kerjasama dan inovasi daripada pelbagai sektor, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang untuk jaringan dan kolaborasi.
Sepanjang empat hari festival diadakan, para pengunjung berpeluang meneroka, mempelajari dan berhubung dengan para pelajar, pakar-pakar dan pencipta inovasi lain secara bersemuka.
Projek-projek yang diketengahkan meliputi pelbagai bidang industri termasuk teknologi, penjagaan kesihatan, perkhidmatan alam sekitar, keselamatan siber dan pertanian yang mencerminkan kreativiti serta kebolehgunaan dalam dunia sebenar.
Turut hadir di majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI), Haji Jailani bin Haji Buntar, pegawai kanan UBD serta para pemegang taruh industri.
InnovFest 2025 diadakan hari ini hingga 17 April di Inspiring Hub, UBD dan dibuka kepada orang ramai.