Inokulasi India cecah 1 bilion

NEW DELHI, 21 OKT – India mencecah 1 bilion kempen inokulasi bagi vaksin COVID-19 hari ini ketika ia bangkit daripada virus memusnahkan yang hampir melumpuhkan sistem kesihatannya.

Perdana Menteri Narendra Modi memuji kejayaan itu sebagai satu ‘kemenangan sains India,’ namun pihak berkuasa masih lagi berwaspada terhadap gelombang baharu pandemik.

Kira-kira tiga suku orang dewasa di negara 1.3 bilion populasi itu sudah dibe-rikan suntikan satu dos vaksin dan 30 peratus lagi sudah lengkap dua dos vaksin, menurut penjumlahan oleh kerajaan.

Namun beratus-ratus juta lagi rakyat India berusia bawah 18 tahun – kira-kira 40 peratus populasinya – belum lagi mendapat satu suntikan dos vaksin.

Lebih 200,000 orang mati dalam gelombang COVID-19 membinasakan bermula pertengahan April sehingga pertengahan Jun. Beratus-ratus ribu orang lagi menderita akibat varian Delta dan banyak hospital dan rumah pembakaran terbeban.

Ahli parti Bharatiya Janata (BJP) mengagihkan manisan bagi meraikan inokulasi 1 bilion dos vaksin COVID-19 di New Delhi, India, 21 Oktober. –AP

Kes-kes jangkitan bagaimanapun sudah menurun mendadak sejak itu. Kurang daripada 20,000 jangkitan dilaporkan setiap hari dan kebanyakan aktiviti sosial sudah pun disambung semula.

Mumbai, salah sebuah daripada bandar yang paling teruk terjejas, baru-baru ini melaporkan sifar kematian COVID-19 dalam sehari buat kali pertama sejak pandemik bermula.

Bagi meraikan pencapaian bersejarah vaksinasi itu, Modi memberikan penghormatan kepada petugas kesihatan India dan monumen di ibu negara, New Delhi dilimpahi cahaya warna-warni kebangsaan.

Hanya kerajaan China yang mengatakan ia sudah memberikan lebih daripada 2.3 bilion dos, telah membuat suntikan lebih banyak dos berbanding India. Dalam pada itu, negara jiran, Bhutan dan Sri Lanka menyambut baik pencapaian itu dan perwakilan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di India, Yasmin Ali Haque mengatakan ia adalah satu ‘pencapaian besar.’ – AFP