Oleh Lenna N.B.
KETIKA sedang berjalan di sekitar pasar malam, penulis tertarik dengan sebuah gerai cendol yang terletak di hujung sekali, kelihatan wajah ceria anak-anak muda sedang melayan pelanggan-pelanggan mereka. Di hadapan gerai tersebut terletak papan tanda besar ‘Cendol Haji Metali’ seakan ada kisah istimewa di sebalik gerai cendol tersebut. Begitulah penulis akhirnya dapat menerokai sejarah Cendol Haji Metali yang sudah bermula lebih dari 50 tahun lalu.
“Arwah ayah dahulu berdagang dengan mengayuh basikal menjual pelbagai makanan seperti mee, kuih-muih dan kopi. Ayah bukanlah orang yang senang. Sebab itu, dia seorang yang suka berjarih dan berkarih,” ucap Haji Awang Abdul Kadir Jailani bin Haji Awang Metali, 60, ketika ditemui oleh wartawan Media Permata baru-baru ini.
Nama di sebalik Haji Metali
Persoalan pertama di minda pada ketika itu, ‘siapakah Haji Metali’. Menurut Haji Awang Abdul Kadir, yang merupakan anak keempat kepada arwah Haji Awang Metali, menyatakan bahawa ayahnya telah dilahirkan di Kampung Burong Pingai Air pada tahun 1923.
Sejak lahirnya lagi, arwah tidak mempunyai seorang ayah kerana telahpun meninggal dunia pada ketika arwah masih dalam kandungan tujuh bulan.




Semasa bersekolah di Darjah Satu, arwah sudah pun bekerja untuk menyara hidup keluarganya, apatah lagi beliau seorang anak tunggal kecuali mempunyai beberapa orang abang sebapa yang menetap berjauhan.
Justeru itu, beliau terpaksa berdikari di awal usia pada ketika kanak-kanak lain masih bermain.
Beliau pernah berniaga barangan seperti ikan masin, pais-paisan dan kuih-muih yang ditukarkan dengan beras atau padi. Beliau juga pernah membuka warung kecil menjual kopi dan cucur-cucuran, serta pernah menjadi ‘pengalu’ yang mendayung perahu dari selepas waktu maghrib hingga ke subuh untuk sampai ke tempat yang dituju, iaitu lokasi beliau berdagang.
Walaupun pernah bekerja di ladang getah dan kontrak Cina sebagai tukang membaiki rumah dan memasang paip, arwah Haji Metali tidak bertahan lama bekerja di bawah majikan kerana aktiviti perdagangan yang sudah sebati dengan jiwanya.
Pada tahun 1954, arwah telah membawa perubahan dalam kehidupan keluarganya apabila menetap di Kampung Burong Pingai Berakas. Di situlah perniagaan cendol bermula sehinggakan arwah dikenali dengan nama ‘Haji Metali Cendul’.
Dari hanya berjual cendul, beliau dapat menyara isterinya dan membesarkan anak-anaknya seramai 14 orang.
“Ayah saya berkahwin dengan ibu dalam tahun 1948. Sejak kami kecil lagi, kami sudah terbiasa menemani ayah berdagang. Setiap hari minggu pula, kami masuk ke hutan mencari kayu api. Begitulah zaman kanak-kanak kami membantu ayah berdagang. Sekitar tahun 1960-an, ayah pernah berdagang di belakang panggung Boon Pang, Bandar Seri Begawan yang kini merupakan tapak bangunan BIBD. Kami kemudian berpindah di Kianggeh berhadapan dengan kawasan perkuburan, sehinggalah terbinanya bangunan tetap untuk peniaga-peniaga kecil seperti arwah ayah, yang dikenali Taman Selera berhadapan dengan Sungai Brunei. Begitulah panjangnya sejarah jerih payah usaha ayah,” cerita Haji Awang Abdul Kadir, yang kini merupakan Pengurus Syarikat Haji Awang Metali Haji Awang Abdullah dan Anak-Anak.
Diwarisi anak-anak
Pada 1 Januari 1988, arwah Haji Awang Metali telah terpilih untuk mendapat tapak kedai yang disediakan oleh pihak kerajaan di Tapak Perindustrian Beribi Gadong.



Tapak tersebut menjadi sebuah kedai makan yang dinamakan Restoran Firdaus sekaligus merealisasikan cita-cita arwah sendiri untuk memiliki sebuah restoran yang dinamakan Firdaus. Atas bantuan isteri dan anak-anak, Restoran Firdaus berjaya dikembangkan dengan membuka cawangan di Kompleks Delima Jaya, Jalan Serusop.
“Arwah ayah seorang yang periang, suka berjenaka tetapi tegas. Kami dari kecil dididik dan dijaga. Manakala saya pula seakan telah dilatih dari kecil oleh ayah, sehingga saya satu-satunya anak beliau yang dihantar ke sekolah berbayar St. Andrews. Saya bukan anak pertama atau anak bungsu, tetapi saya bersyukur atas kepercayaan yang diberikan arwah ayah kepada saya untuk mengendalikan perniagaan ini. Begitu juga sokongan semangat yang tidak putus-putus oleh abang, kakak dan adik-adik saya. Alhamdullilah, segala puji-pujian kepada Allah Ta’ala atas pemberian ini kepada saya,” jelas Haji Awang Abdul Kadir.
Menurut Haji Awang Abdul Kadir, perniagaan ayahnya itu bukan sahaja diteruskan dan diusahakan olehnya seorang tetapi turut melibatkan adik-beradiknya serta anak-anak mereka. Begitulah keistimewaan di sebalik sejarah perniagaan Cendol Haji Metali yang melibatkan tiga generasi Haji Metali, bermula daripada arwah sendiri, diikuti dengan anak-anak dan kemudian diusahakan oleh cucu-cucu tercinta.
Keistimewaan resepi
Walaupun 50 tahun telah berlalu, Cendol Haji Metali masih mengekalkan resepi arwah, diperbuat daripada tepung beras oleh anak-anak Haji Metali sendiri. Sejak arwah mula menjual cendol menggunakan basikal, sehingga akhirnya mempunyai tapak tetap di Perindustrian Beribi dan Pasar Malam.
“Anak-anaklah yang berniaga di Pasar Malam Baru menjual cendol resepi arwah sejak ia dirasmikan pada awal Februari tahun ini. Banyak juga pelanggan yang teringat semula cendol arwah yang mereka sangka sekian lama menghilang. Padahal kami sentiasa berjual, cuma berpindah-pindah. Justeru itu, apabila pelanggan kami melihat semula Cendol Haji Metali sekarang ini, mereka seakan mengimbas cendol ayah puluhan tahun lalu. Alhamdullilah kami berbesar hati dan menjunjung kasih kerana telah diberikan tapak di pasar malam baru tersebut yang memberi peluang kepada kami untuk bertemu dengan orang ramai terutama mereka yang telah merindui cendol arwah ayah.”



Berasaskan cendol resepi Haji Metali, kini anak-anak beliau serta cucu-cucu yang telah pun masuk usia belia telah bergabung tenaga mencipta inovasi cendol. Antaranya adalah cendol puspa, cendol durian, cendol puspa gabungan buah nipah, cendol puspa gabungan durian dan cendol tea. Nama ‘puspa’ itu pula diinspirasikan oleh arwah sendiri bersempena dengan Hari Perpuspaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Mempertahankan cendol
Dalam ekonomi yang serba mencabar ini, serta industri perniagaan yang banyak tandingan ini, setentunya cendol mengalami cabaran dengan kewujudan pelbagai hidangan minuman yang variasi, seperti jenama-jenama terkenal Gong Cha, Boba Tea, Easy Way, dan sebagainya. Mempertahankan tradisi cendol memang sukar melihat tandingan-tandingan yang cukup enak dan hebat.
Namun, bagi Haji Awang Abdul Kadir, saingan-saingan tersebut merupakan suatu aktiviti yang sihat, malah menjadi sumber semangat untuknya serta adik-beradik dan anak-anak melaksanakan inovasi sesuai dengan citarasa orang Brunei.
“Oleh itu, kami sentiasa membuka ruang untuk anak-anak kami untuk memberikan idea dari segi penciptaan cendol baru dengan harapan, perniagaan ayah dapat bertahan. Cendol Teh Ais adalah salah satu inovasi dari ciptaan anak saya, walaupun kebanyakan generasi seperti kami tidak berminat, tetapi respon orang muda memang memberangsangkan menunjukkan cendol masih mempunyai pasarannya dan diminati orang ramai,” jelas Haji Awang Abdul Kadir.
Secara keseluruhannya, ahli keluarga yang terlibat dalam menjayakan perniagaan Cendol Haji Metali mencapai seramai 38 orang, merangkumi 14 orang adik-beradik iaitu anak-anak kepada arwah Haji Metali dan 24 orang cucu Haji Metali. Antara rahsia utama kejayaan Cendol Haji Metali adalah dari segi kualiti dan rasanya, yang memang tidak pernah berubah sejak perniagaan tersebut diusahakan oleh arwah Haji Metali lagi.
“Di samping itu, doa dan solat jangan pernah lupa sebagai tanda kesyukuran kitani kepada Allah atas rezeki yang telah dilimpahkan. Semuanya daripada Allah jua,” ucap Haji Awang Abdul Kadir di hujung sesi temuramah. Legenda Cendol Haji Metali tetap hidup diteruskan oleh generasi bangsa.