Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inovasi bantu ubah persepsi terhadap jering

    WALAUPUN memiliki bau yang kurang enak, ternyata jering juga memiliki penggemarnya yang tersendiri.

    Ramai di antara individu yang berasa malu untuk mengakui bahawa mereka memang merupakan seorang yang gemar memakan buah itu kerana risau dihina berikutan daripada baunya yang kurang enak.

    Dengan rasanya yang agak unik, ternyata inovasi turut dilakukan dalam penyediaan masakan berasaskan buah jering yang disebut sebagai jengkol itu.

    Di Jakarta, warga Betawi memang banyak menghasilkan variasi masakan berasaskan daripada jering dilengkapi dengan rempah ratus dan sos kicap seperti semur jengkol (hidangan jering secara rebus) dan jengkol balado (jering dimasak bersama dengan lada pedas seperti sambal) yang cukup popular di bandar tersebut.

    Afaf Sri Handayani merupakan seorang individu yang cukup gemar memakan jering. Bagi dirinya, semur jengkol merupakan antara hidangan wajib dan paling digemarinya di Betawi terutama apabila ia di makan bersama dengan nasi uduk yang merupakan hidangan nasi di masak bersama dengan santan kelapa menyerupai seperti nasi lemak.

    Buah jering dianggap sebagai sesuatu makanan yang busuk dan hanya dimakan oleh orang biasa suatu ketika dahulu. – Agensi
    Jengkol Crispy merupakan antara inovasi makanan berasaskan jering yang menarik. – Agensi

    Berikutan daripada minat yang terlalu mendalam, Afaf yang merupakan seorang peniaga bebola daging telah melakukan inovasi dengan menghasilkan bakso jengkol. Seperti mana namanya, dia telah menggabungkan hidangan daging tersebut bersama dengan buah yang memiliki bau yang kurang enak itu sekali gus menghasilkan satu menu yang baru.

    Afaf telah memperkenalkan menu hidangan tersebut sewaktu Festival Jengkol yang dianjurkan di Pusat Membeli-belah BTC di Bekasi, Jawa Barat.

    “Bakso ini merupakan sejenis hidangan sesuai diperkenalkan bagi individu yang kurang gemar terhadap jering,” jelas Afaf, 37.

    Disajikan bersama dengan air sup, mee kuning, taburan bawang goreng ranggup dan daun parsli segar, bakso jengkol jelas kelihatan seperti sup bakso lain di mana ia jelas kelihatan cukup menyelerakan.

    Dengan sup yang enak, individu yang berpeluang untuk menikmatinya setentunya berasa terpesona kerana baunya tidak berapa ketara dan rasanya juga cukup menyelerakan.

    Festival Jengkol tersebut turut menawarkan pelbagai hidangan lain yang turut dihasilkan dengan penggunaan jering seperti burger jengkol, katsu jengkol, rendang jengkol dan sate jengkol.

    Afaf menjelaskan bahawa dia sedar bahawa ramai individu kurang gemar untuk memakan jering adalah kerana menganggap nafas dan air kencing mereka akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan selepas memakan buah tersebut.

    Namun dia tetap percaya terhadap inovasi yang dilakukannya terhadap bakso jengkol kerana ramuan yang disertakan secara tidak langsung berupaya untuk menyingkirkan bau terutama setelah merendamnya bersama air garam dan merebusnya bersama herba tertentu selama beberapa jam.

    “Saya turut menghancurkan jering tersebut untuk memastikan rasanya sekata dengan bebola daging yang dihidangkan,” jelasnya.

    Semasa festival itu, sesetengah pengunjung turut memuji hidangan bakso jengkol yang dihidangkan dan ada juga yang memesan untuk kali kedua.

    Jering merupakan sejenis makanan yang cukup sinonim dengan penduduk di beberapa buah negara di Asia Tenggara.

    Malah jering juga memiliki fungsi kesihatan yang tersendiri seperti berupaya untuk melancarkan saluran darah dan mencegah daripada diabetes.

    Namun sekiranya ia dimakan secara berlebihan, kandungan asid djenkolik yang terkandung dalam jering tersebut turut berpotensi untuk menjejaskan sistem pencernaan.

    Bagi mengelakkan daripada kesan negatif, adalah dinasihatkan agar jering tersebut untuk direbus bersama dengan air garam sebelum dimakan.

    Sate Jengkol kelihatan cukup enak dan menyelerakan. – Agensi

    Ratna Perdana Wantie, seorang warga Bandung, Jawa Barat mengetahui mengenai bahaya asid djenkolic itu sewaktu mengikuti pengajian dalam bidang kimia di Universiti Padjajaran.

    Pada tahun 2016, dia telah memulakan perniagaan berasaskan daripada bahan jering. Dia nekad untuk meninggalkan kerjayanya selaku auditor keselamatan makanan dan mengembangkan jenama makanannya sendiri dikenali sebagai Jengkol Neng Iting yang menghasilkan keropok jering dikenali sebagai Jengkol Crispy.

    “Saya mahu mengikis sikap malu di kalangan individu ketika memakan buah jering,” jelasnya.

    Proses memasak keropok jengkol tersebut adalah cukup mudah kerana ia dihiris nipis dan direndam bersama air kapur selama beberapa jam bagi mengurangkan asid djenkolik.

    Selepas itu, ia digoreng tanpa tepung sehingga garing dan menampilkan rasa yang renyah.

    Pada awalnya, Ratna menjelaskan bahawa keropok tersebut hanya berupaya untuk menarik pasaran tempatan namun ternyata dia juga telah berjaya memasarkannya ke Korea Selatan dan sebuah wilayah di China.

    Di rumahnya, dia telah memasak hampir 10 kilogram jering setiap hari dan menghasilkan lebih dari 300 cawan Jengkol Crispy setiap minggu.

    Pengulas makanan dan ahli sejarah, Fadly Rahman menjelaskan bahawa semakin ramai individu yang menyuarakan bahawa mereka cukup gemar untuk memakan jering.

    Pensyarah Universiti Padjajaran menjelaskan bahawa ramai warga Indonesia memang memiliki minat mendalam untuk memakan jering sejak sebelum era kemerdekaan.

    Penulis terkemuka dari Malaya, Abdullah bin Abdulkadir Munsyi pernah mencatatkan bahawa jering adalah komiditi penting pada awal abad ke-19 dan telah lama dipasarkan di pasar tradisi di Sumatera.

    Munsyi menjelaskan bahawa ramai golongan elit tempatan enggan untuk mengakui keinginan mereka untuk memakan jering secara terbuka dan cenderung untuk memakannya secara rahsia.

    “Pada waktu itu, jering dianggap sebagai sejenis makanan yang hanya dimakan oleh orang biasa,” jelas penulis buku Jejak Rasa Nusantara: Sejarah Masakan Indonesia .

    Fadly cukup optimis bahawa produk yang dihasilkan daripada jering berpotensi untuk diketengahkan di pasaran antarabangsa sebagaimana tempe.

    Dia juga berharap agar orang ramai akan menjadi lebih kreatif dalam memprosesnya sekaligus berusaha untuk mengurangkan dan menghilangkan baunya yang busuk. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda