Oleh Lenna N.B.
BAGI menyemarakkan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah menganjurkan Mini Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2017, yang baru sahaja dilancarkan tepat pada 1 November 2017 baru-baru ini di kawasan Plaza Tengah, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Mini Ekspo tersebut sekali gus meraikan tarikh penting, ‘1 November’ buat para peladang,para petani, penternak dan nelayan di negara ini, yang berkarih dan berjarih bekerja mencari rezeki pada sumber alam. Menyusur kembali kepada sejarah pentingnya tarikh tersebut adalah berikutan peristiwa pada 19 November 2009, apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bertitah ketika merasmikan Ekspo Pertanian dan Agrimakanan pada masa itu, sebagaimana dalam pada petikan titah Baginda berikut;
“Sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha dan sumbangan para petani, peladang, penternak dan nelayan serta pengusaha pertanian di negara ini, beta dengan sukacita mengisytiharkan, bahawa pada setiap 1 November sebagai Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan bagi Negara Brunei Darussalam.”
Sejak titah Baginda ini, 1 November telah menjadi Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan yang disambut di negara ini setiap tahun.
Pada tahun ini, bagi meraikan hari istimewa itu, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan menganjurkan Mini Ekspo tersebut melibatkan antara para peladang, petani, penternak dan nelayan tempatan menyertai pameran dan jual-jualan, diikuti dengan pengusaha-pengusaha tempatan yang produknya bersumberkan bahan-bahan ladang dan pertanian, serta ternakan sama ada hasil laut-sungai atau darat,tidak kurang juga, penglibatan syarikat-syarikat yang telah mengeluarkan pelbagai jenis produk atau baja yang boleh digunakan untuk membantu proses penternakan, pembajaan, dan sebagainya.



Turut menarik adalah penglibatan Kampus IBTE Agriteknologi Kampung Wasan yang mempamerkan projek tahun akhir mereka menanam sayur-sayuran menggunakan kaedah hidroponik, yang dapat diungkayahkan oleh orang-orang persendirian di kediaman mereka bagi membudayakan pengambilan makanan-makanan segar.
Merangsang produktiviti melalui teknologi
Bersesuaian dengan tema ‘Merangsang Produktiviti Melalui Teknologi’, ruangan Minda kali ini tertarik dengan pameran utama mereka yang menampilkan pelbagai bentuk teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti serta pertumbuhan hasil keluaran.
Antaranya adalah sistem ternakan reban ayam tertutup iaitu sistem di mana ayam-ayam ternakan dijaga mengikut suhu yang terkawal dan terlindung daripada haiwan-haiwan liar atau kuman-kuman luar yang membantu jumlah penghasilan serta kualiti ayam dapat ditingkatkan berbanding dengan sistem reban konvensional, sistem ternakan kambing dan lembu, dan sebagainya.
Agak unik adalah pameran teknologi industri tanaman seperti sistem teknologi Madgrow iaitu satu teknologi yang dibentuk untuk melakukan penanaman, pembajaan serta pengairan automatik memudahkan petani yang tidak mempunyai cukup tenaga kerja, sistem LED iaitu teknologi Light Emitting Diode yang menggunakan pencahayaan selama 24 jam bagi mempercepatkan tumbesaran tanaman, juga satu sistem yang telah digunakan di Jepun secara bertingkat, sistem hidroponik yang menggunakan larutan zat makanan bagi perkembangan tanaman, dan pada masa yang sama, sistem hidroponik ini juga dapat digunakan untuk sistem tanaman bertingkat agar penggunaan ruang lebih jimat tetapi tetap menghasilkan pengeluaran yang tinggi, tidak kurang juga sistem rumah hijau iaitu memastikan tanaman-tanaman berada pada suhu yang sesuai dengan proses pertumbuhannya, agar tidak terlalu terdedah kepada suhu di luar yang kadang-kala tidak menentu, dan pada masa yang sama melindungi tanaman daripada gangguan haiwan-haiwan seperti burung, tikus dan sebagainya.



Banyak lagi sistem-sistem teknologi yang telah ditampilkan dan dipamerkan. Sesetengahnya telah pun digunakan oleh para pengusaha, sehinggakan produk-produk mereka menjadi bekalan tetap di beberapa restoran dan pasar raya tanah air.
Dalam jangka masa yang panjang, hasil daripada teknologi ini, industri-industri yang berkenaan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan asasi penduduk tempatan, tetapi membantu negara mengurangkan kadar barangan-barangan import dan sekali gus menembusi pasaran ke luar negara, menghantar produk-produk keluaran Negara Brunei Darussalam.
Ini sejajar dengan teras utama Pelan Strategik Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dalam meningkatkan produktiviti menggunakan teknologi moden dan terkini, serta pada masa yang sama turut mengurangkan kos pembiayaan pengeluaran, yang akan membantu industri ladang, pertanian, serta penternakan mencapai daya saing antarabangsa.
Menanamkan minat belia
Melihat kepada cabaran ekonomi sekarang ini serta pada masa akan datang, acara mini ekspo ini sedikit sebanyak turut membuka mata dan minda para belia untuk lebih ramai melibatkan diri dalam industri pertanian dan agrimakanan.
Ini bukan sahaja membantu mengurangkan masalah pengangguran dalam negara, tetapi melalui industri ini, mereka dapat sama-sama membantu mengembangkan masa depan ekonomi negara.
Melalui pertunjukan teknologi-teknologi yang digunakan pasti mereka tertarik bagaimana industri ini bergerak seiring dengan kemajuan zaman, sekali gus melahirkan belia-belia yang berkemahiran dan berinovasi mengikut perkembangan teknologi dari masa ke semasa.


Mini Ekspo Pertanian dan Agrimakanan ini, dilangsungkan selama lima hari berturut-turut hingga 5 November lalu.
Sepanjang ekspo, beberapa seminar turut diadakan khas untuk para pengusaha dan orang ramai bagi memberikan lebih banyak kefahaman dalam bidang tersebut. Antara topik-topik yang menarik adalah Penanaman Organik oleh Dr. Liew Shin Min, dari Kampus IBTE Agro-Teknologi Kampung Wasan, Sistem Fertigasi oleh Haji Mohd Ayub bin Haji Suhaili dari Econadi Agrobiz, Taman Belakang Rumah dengan Sistem Fertigasi) oleh Haji Irwandy bin Lois dan Ameen Farm, Penggunaan Teknologi Dalam Pengeluaran Perusahaan Ayam Pedaging oleh Pengiran Haji Harris bin Pengiran Duraman dari Riza Fudhlana Farming, Hidup Tanpa Bahan Kimia oleh Dayang Mewsum Wong dari Raw Food Asia, serta banyak lagi topik-topik menarik yang boleh dimanfaatkan untuk sesiapa sahaja ingin menceburi bidang industri pertanian dan agrimakanan ini.
Bidang ini, mungkin antara bidang yang agak kurang diminati kerana tidak ramai antara belia mahu menjadi seorang peladang, petani, penternak atau yang berkaitan dengannya kerana kononnya perlu bekerja di bawah terik panas matahari, tetapi dengan adanya sistem teknologi berdaya maju, tidak ada lagi alasan untuk menidakkan kerjaya ini kerana para peladang atau petani kita sekarang ini telah pun maju lebih ke hadapan.
Kadang kala, mereka bukan sekadar petani biasa, tetapi juga menjadi seorang jurutera, ahli sains, pengkaji dan sebagainya.
Begitulah menariknya Mini Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2017, bersempena dengan 50 tahun pemerintahan Baginda Sultan, cukup matang membawa kita ke era pembangunan.
Selamat Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan diucapkan daripada kami, Media Permata, semoga terus maju dalam perusahaan seterusnya membantu memperkembangkan ekonomi kita serta membawa kejayaan yang dibanggakan buat negara tercinta.