Inovasi Ke arah kecemerlangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Untuk memberikan peluang kepada para pendidik bagi pembangunan kapasiti dan kompetensi dalam pelbagai bidang pengkhususan pendidikan selaras dengan kemahiran-kemahiran abad ke-21, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Pendidik mengadakan Seminar Pakar Pendidikan kali pertama yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Seminar membawakan tema Pengkhususan Kontemporari dalam Amalan Pendidikan ke arah Kecemerlangan Pendidikan dan memfokuskan kepada Kurikulum dan Inovasi Ke Arah Kecemerlangan Pendidikan sebagai sub tema.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, seminar itu dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Turut hadir semasa sesi hari pertama seminar itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha-setiausaha tetap, naib canselor UBD, rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), naib canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan timbalan-timbalan setiausaha tetap.

Seramai 106 orang pendidik dikenal pasti sebagai pakar pendidik yang berpotensi dan dijemput sebagai peserta untuk Seminar Pakar Pendidik pada tahun ini dan selain daripada itu, guru-guru kanan (akademik) dari semua sekolah kerajaan serta dari beberapa buah sekolah persediaan Arab dan sekolah-sekolah swasta turut dijemput hadir.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa menyampaikan ucapannya pada majlis tersebut.
Suasana Seminar Pakar Pendidikan yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, kelmarin.

Seminar itu juga merupakan platform bagi mewujudkan rangkaian kolaborasi dan komuniti pembelajaran profesional dalam meningkatkan dan penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi pakar pendidik.

Kenyataan menyatakan bahawa acara dimulakan dengan kata alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dayang Masdiah binti Awang Haji Tuah selaku pengerusi Jawatankuasa Seminar Pakar Pendidikan 2021 dan diteruskan dengan ucapan daripada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah sebelum diikuti dengan pelancaran Seminar Pakar Pendidikan yang pertama.

Sesi seminar bermula dengan ucaptama bertajuk Curriculum Reform and Innovation Towards Education Excellence: Singapore’s Lessons yang telah disampaikan oleh Profesor Zongyi Deng dari University College London (UCL).

Sesi pagi bagi seminar berkenaan juga menyaksikan sesi perkongsian daripada pemangku pengarah perkembangan kurikulum mengenai Curriculum Design, dan perkongsian daripada ketua Pusat Teknologi Pendidikan mengenai Blended Learning using SAMR Model.

Manakala itu, sesi petang diteruskan dengan perkongsian daripada pemangku pengarah pengurusan pendidik yang mengongsi mengenai enam bidang kepakaran yang telah dikenal pasti dalam sistem pendidikan iaitu bimbingan, kurikulum dan pengajaran, pengukuran dan penilaian pendidikan, penyelidikan pendidikan, pendidikan khas, dan teknologi pendidikan.

Ketua-ketua jabatan yang terlibat turut mengongsi maklumat yang berkenaan dengan bidang kepakaran masing-masing dan jangkaan seta hasil yang diharapkan sebagai seorang pakar pendidikan.

Acara diikuti dengan sesi perkongsian mengenai Generic Competency and Training Progression for Education Specialists dan Training Needs Analysis Survey for Education Specialists juga turut disampaikan oleh ketua unit pakar, Akademi Kepimimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA).

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa hari kedua seminar akan disambung dengan dua sesi bengkel mengenai Crafting of Brunei Darussalam Education Specialist Competency Framework (BDESCF) dan Virtual Gallery Walk and Consolidation.

Seminar berkenaan turut diisi dengan sesi soal jawab dan perbincangan bersama Profesor Zongyi Deng yang akan dikendalikan oleh Penolong Kanan Profesor, SHBIE, UBD, Dr Hajah Sallimah binti Haji Mohd Salleh.