Inovasi memanggang kopi guna cahaya matahari

ROM – Menggabungkan dua keistimewaan Itali – kopi dan sinaran matahari – beberapa jurutera di Rom telah mewujudkan kaedah mesra alam untuk memanggang biji kopi tanpa elektrik atau gas.

Antonio Durbe dan Daniele Tummei telah menghabiskan enam tahun membangunkan dan menyempurnakan pemanggang kopi sinaran matahari.

Hasilnya adalah satu sistem yang memerlukan sebidang tanah sebesar saiz kira-kira setengah gelanggang tenis dan cuaca cerah untuk memanggang sehingga 50 kilogram kopi sejam.

Kilang itu dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga daripada matahari. Sinaran matahari tertumpu oleh satu set cermin di pemanggang kopi dan beberapa alat elektrik beroperasi menggunakan panel solar kecil.

Sensor yang dikawal oleh sebuah komputer membenarkan cermin mengikut matahari sepanjang hari dan memusat cahayanya pada bakul keluli berputar yang mengandungi biji kopi segar.

Daniele Tummei mengendali fungsi ‘Purosole’, pemanggang kopi cahaya solar. – AP
Antonio Durne (kiri) dan Daniele Tummei menyelia fungsi pemanggang kopi cahaya solar di Rom. – AP

Bakul itu mencecah suhu kemuncak kira-kira 240 hingga 250 darjah Celsius, bergantung pada betapa terangnya sinaran matahari, dan boleh memanggang biji kopi dalam masa 20 minit.

Proses itu bukan sahaja bersifat mesra alam dan menjimatkan dari segi kos. Menurut Durbe dan Tummei, ia juga memelihara keharuman kopi dengan lebih baik, sekali gus memberikannya rasa yang lebih sedap.

Tidak seperti ketuhar udara panas konvensional, yang biasanya menggunakan gas, tumpuan cahaya matahari memanggang kopi tanpa memanaskan udara di sekelilingnya – dengan menembusi bijirin dalam cara yang lebih seragam dan tanpa membakar bahagian luar.

Secara semula jadi, sistem itu bergantung pada cuaca yang baik. Pada cuaca mendung atau selepas matahari terbenam, penggemar kopi perlu beralih kepada kaedah lain.

Bagaimanapun, dalam cuaca cerah di selatan Itali, kilang dengan 40 cermin mampu memanggang sehingga 30,000 kilogram kopi setahun, menjimatkan kira-kira 60,000 kilowatt jam elektrik, menurut pencipta alat pemanggang itu.

Kopi matahari semula jadi mereka, Purosole, boleh dibeli secara dalam talian, namun matlamat utama pencipta alat tersebut adalah menjual kilang memanggang kopi solar mereka kepada perniagaan kecil yang sensitif kepada alam sekitar. Buat masa sekarang, mereka mengendalikan kilang di kebun seorang kawan.

Sistem itu juga boleh digunakan untuk tujuan lain. Pada akhir hari yang sibuk, Durne dan Tummei meletakkan pemanggang di depan cermin untuk menyediakan beberapa masakan barbeku cahaya matahari yang menyelerakan. – AP