Oleh Nurdiyanah R.
Bertani kini tidak semestinya hanya di sawah atau nun di ladang yang luas terbentang sahaja. Tanpa terdedah kepada terik matahari, pendapatan hasil pertanian sama ada secara sampingan atau sepenuh masa boleh sahaja memberi ganjaran lumayan kepada pengusahanya.
Begitulah semangat dan kegigihan usahawan tani bapa dan anak ini dalam mengetengahkan pertanian moden cendawan tiram dalam ruang kontena berdekatan dengan kediaman mereka di Kampung Mentiri sejak lebih dua bulan lalu.
“Lebih selamat dan terkawal daripada sebarang gangguan binatang-binatang liar seperti monyet, anjing dan sebagainya serta juga menggelakkan kerugian akibat banjir dan kemarau di-sebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu. Begitulah kebaikan yang dapat kita peroleh menerokai pertanian moden sebegini,” kongsi Awang Mohd Khir Zabidi bersama anaknya Awang Khairul Anuar Sham bin Mohd Khir di bawah Syarikat Mayumi Agrotech semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
Inovasi teknologi, pertanian moden
Mengimbas kembali detik mulanya, Awang Mohd Khir yang merupakan bekas kontraktor suatu ketika dahulu menyatakan kawasan tanah berkenaan sememangnya pemberian dari Jabatan Pertanian kepada isterinya. Namun idea untuk menerokai idea pertanian ini tercetus daripada cadangan semasa pertemuan bersama Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Negara Brunei Darussalam suatu ketika dahulu.
Pada saat itulah, keluarga mereka berhasrat untuk menjalankan pertanian cendawan tiram dengan membina sebuah kontena menggunakan sistem teknologi moden. Kontena tertutup berbentuk segi empat tepat yang dibina secara persendirian oleh Awang Mohd Khir bersama anak-anak lelakinya itu dapat memuatkan sebanyak 2,000 hingga 4,000 beg benih cendawan secara keseluruhannya.



“Kini kami memiliki 400 beg dan setiap beg itu mampu mengeluarkan cendawan tiram untuk tujuh kali penghasilan,” tambahnya yang kini berusia 55 tahun dan turut bersyukur dapat mengeluarkan kira-kira sekilo cendawan tiram segar dengan anggaran harga $50 dalam masa sehari untuk para pelanggan mereka.
Mula ‘trial dan error’ sebagai peneman
Di samping itu, Awang Muhd Khir turut menjelaskan bahawa tanpa mengikuti kursus-kursus tertentu, namun hanya berbekalkan pengetahuan asas menerusi laman Internet terutamanya YouTube, mereka memulakan pertanian cendawan tiram berteknologi moden ini.
“Tiga bulan kami berada dalam fasa ‘trial dan error’ (percubaan dan kesilapan) dan seakan teman perjuangan kami semasa mula menceburi dunia pertanian sebegini,” ujarnya.
Pentingnya suhu dan tahap kelembapan
Dalam pada itu, Awang Khairul Anuar turut berkongsi bahawa salah satu bahan yang digunakan untuk menghasilkan benih-benih cendawan tiram ialah habuk pokok kayu disimpan dalam beg plastik. Di samping itu, cendawan tiram memerlukan pemantauan sebanyak dua atau tiga kali.
“Setiap pertanian yang dijalankan pastinya memiliki cabaran-cabaran tertentu. Seperti pertanian moden cendawan tiram ini, kita perlu menitik beratkan tahap suhu dan juga kelembapan yang tertentu. Hal ini amat penting untuk menghasilkan cendawan tiram yang segar dan berkualiti,” jelasnya lagi yang kini berusia 26 tahun.
Berkarya dalam berniaga
Dalam pada sama yang sama, Awang Muhd Khir dan anaknya serta keluarga juga memiliki sebuah restoran mini berdekatan kediaman mereka dengan cendawan tiram goreng merupakan salah satu produk hiliran yang ditawarkan.
Apabila berbicara mengenai perancangan pada masa akan datang, mereka berharap akan dapat mengeluarkan produk hiliran dari cendawan tiram segar ini untuk menjadikannya produk cendawan jenis kering dan juga serbuk sebagai perencah.
“Berkarya dalam berniaga, itulah yang mesti kita terokai apabila menjadi pengusaha. Kesabaran dan sentiasa menguatkan daya pemikiran ke arah nilai-nilai positif juga penting. Hargai masa dengan sebaik-baiknya, rebut peluang untuk meningkatkan prestasi diri selagi kita masih diberikan kesihatan yang baik,” nasihat Awang Muhd Khir dengan penuh ketulusan untuk semua lapisan masyarakat di negara ini terutamanya golongan belia dan beliawanis untuk menceburi dunia keusahawanan meskipun bermula secara kecil-kecilan.