Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inovasi penggerak evolusi pendidikan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Era digital telah membawa gelombang inovasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini di mana ia telah mengubah cara mengajar dan belajar serta membentuk semula sifat pendidikan, dan pendidik berada di barisan hadapan dalam peralihan yang luar biasa ini.

    “Inovasi adalah penggerak di sebalik evolusi pendidikan di mana bilik darjah tidak lagi terhad kepada empat dinding, malah ia telah berkembang ke alam tanpa had dalam dunia digital.”

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh semasa menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Hari Guru Tahun 2023 di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Beliau seterusnya berkata, inovasi seperti bilik darjah, pembelajaran bersepadu dan gamifikasi telah memperkayakan kaedah pengajaran dan menjadikan pembelajaran lebih menarik dan interaktif untuk pelajar.

    “Salah satu inovasi paling ketara dalam pendidikan adalah penyepaduan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Hari Guru Tahun 2023 di Dewan Canselor UBD, kelmarin. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    “AI berpotensi untuk menyesuaikan pengalaman pembelajaran, mengautomasikan tugas pentadbiran dan memberikan gambaran berharga tentang prestasi pelajar,” tambah beliau.

    Menurut Yang Berhormat Datin, ia boleh membantu untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar selain membolehkan mereka menyesuaikan kaedah pengajaran dengan sewajarnya dan ini bermakna guru mesti terus berinovasi, dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran dinamik yang memupuk rasa ingin tahu, pemikiran kritis dan kreativiti.

    Beliau seterusnya menegaskan, adalah penting untuk diingat bahawa walaupun teknologi dan AI adalah alat yang berkuasa, ia harus melengkapkan dan bukan menggantikan konsep pengajaran (human touch) dalam pendidikan.

    “Guru membawa empati, bimbingan dan inspirasi ke dalam bilik darjah di mana kualiti yang tidak boleh ditiru oleh mesin.

    “Kami mesti memanfaatkan teknologi dan AI sebagai rakan kongsi dalam perjalanan pendidikan dan membolehkan kami untuk memberikan tumpuan lebih kepada memupuk hubungan manusia dan perkembangan sosial serta emosi pelajar kami,” jelasnya.

    Masa depan pengajaran bukan mesin yang mengambil alih, tapi ia mengenai guru dan teknologi yang bekerjasama untuk mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih berkesan dan pengalaman.

    Guru dan semua orang dalam bidang pendidikan, jelasnya, mesti melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memanfaatkan potensi teknologi dan AI oleh itu pembangunan profesional yang berterusan dan pertumbuhan minda adalah penting.

    Yang Berhormat Datin seterusnya menyeru untuk terus menjadi pemimpin yang membimbing pelajar melalui era digital, dan mengajar bukan sahaja cara menggunakan teknologi tetapi juga cara berfikir secara kritis, beretika dan empati dalam dunia yang saling berkaitan.

    “Kita adalah arkitek masa depan di mana inovasi, teknologi dan AI bergabung dengan nilai pengetahuan, empati dan hubungan manusia yang berkekalan,” ujarnya.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda