Monday, January 20, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inovasi penyelidik UPM ubah kulit durian jadi baja

    KUALA LUMPUR – Apabila tiba musim durian, kulit buah berduri keras itu selalunya berakhir di tempat pelupusan sampah atau dibiarkan bersepah begitu sahaja yang berisiko mengundang makhluk perosak seperti tikus, selain menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

    Namun, inovasi Prof Ts Dr Rosnah Shamsudin daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), memastikan kulit durian serta buah-buahan lain tidak lagi akan menjadi sisa yang berakhir di tempat pembuangan sampah, sebaliknya sebagai sumber nutrien untuk tanaman.

    Penyelidik daripada Jabatan Kejuruteraan Proses & Makanan, Fakulti Kejuruteraan UPM itu memanfaatkan sepenuhnya pengalaman beliau dalam bidang itu dengan menghasilkan mesin pencencang kulit durian dinamakan sebagai ‘M’SReD’.

    KULIT DURIAN PENCEMAR ALAM

    Ketika ditemui Bernama di makmalnya baru-baru ini, Rosnah berkata beliau mendapat idea untuk menghasilkan mesin itu selepas melihat lambakan kulit durian yang dibiarkan begitu sahaja setiap kali tiba musim ‘Raja Buah’ itu.

    “Mesin ini mencencang kulit durian bagi memudahkan proses pengkomposan dan seterusnya menghasilkan baja kompos bernutrien untuk digunakan semula dalam sektor pertanian,” jelasnya.

    Prof. Ts. Dr. Rosnah Shamsudin bergambar dengan mesin khas pencincang kulit durian yang dihasilkannya yang dinamakan M’SReD. – Bernama

    Menurut beliau, usaha itu bermula pada 2020 dengan beliau menghasilkan konsep serta reka bentuk mesin.

    “Mesin direka dengan tumpuan pada pengendalian, iaitu mudah dioperasikan oleh tenaga tidak mahir atau separuh mahir. Selain itu, saya dan pasukan juga memastikan alat ganti setiap komponen mesin mudah didapati di pasaran tempatan, mudah diselenggara, mudah alih serta menjimatkan masa dan tenaga,” kata beliau lagi.

    Kongsi beliau, selepas setahun bertungkus-lumus, beliau dan pasukan berjaya menyiapkan prototaip akhir yang mampu dihasilkan oleh pengilang.

    “Ketika proses pembuatan prototaip ini juga pelbagai cabaran kami hadapi, antaranya perlu pastikan gigi pencencang cukup tajam sehingga berjaya mencencang halus kulit durian yang paling liat dan pada masa sama kos berpatutan,” jelas Rosnah.

    Mesin yang terhasil berbentuk seakan mesin rumput empat segi seberat 20 kilogram, dilengkapi roda dan dikuasakan oleh enjin 7.0 liter yang menggunakan petrol.

    “Jika berjaya dikomersialkan, mesin ini dijangka dapat dibeli pada harga kurang daripada RM10,000,” katanya, menambah selain kulit durian, mesin itu juga dapat mencencang kulit nangka, cempedak dan lain-lain, sekali gus membantu menangani lambakan sisa kebun pada setiap musim buah-buahan.

    Menurutnya, bagi berkongsi kejayaan inovasi itu, beliau mengadakan demonstrasi penggunaan mesin tersebut bersama-sama dengan penduduk yang mengusahakan Kebun Komuniti Suria Residen di Mantin, Negeri Sembilan. Program itu juga dijalankan sebagai usaha menyokong inisiatif Dasar Kebun Komuniti Bandar serta memenuhi hasrat kerajaan dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

    CABARAN

    Rosnah berkata di sebalik potensi mesin itu bagi industri makanan dan pertanian negara, beliau tetap berdepan pelbagai cabaran, dengan yang terbesar dari segi pengkomersialan.

    “Sukar untuk mendapatkan syarikat yang bersetuju melesenkan inovasi ini secara bersama dengan UPM, iaitu syarikat yang betul-betul komited dan jujur untuk mengeluarkan mesin. Selain itu, kita juga perlu pastikan inovasi sampai kepada golongan sasaran,” ujarnya.

    Meskipun begitu, pakar inovasi pemprosesan makanan itu tetap bersemangat menghasilkan ciptaan yang berpotensi menyelesaikan masalah pencemaran sisa pertanian dalam jangka panjang.

    “Mesin merupakan peralatan yang penting dalam meningkatkan pengeluaran produk, terutamanya bagi industri kecil dan sederhana. Mesin dapat membantu komuniti usahawan dalam operasi pemprosesan produk makanan. Kerja-kerja operasi akan menjadi lebih ringan, mudah, lebih bersih dan juga dapat menghasilkan pelbagai produk dengan kualiti yang lebih baik.

    “Mesin juga membantu pengusaha meminimumkan penggunaan tenaga kerja manusia dan masalah kebergantungan pada buruh asing dapat diatasi,” katanya yang percaya penggunaan mesin yang tepat akan dapat meningkatkan daya saing dan prestasi usahawan kecil dan sederhana. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda