Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inovasi, teknologi cegah ancaman jerung

    SYDNEY – Terbang tinggi di atas pantai-pantai Sydney, dron menjejak salah satu pemangsa paling berbahaya di dunia, mengimbas gerakan ekor, sirip atau bayang-bayang yang menyelinap melalui ombak.

    Lautan Australia dipenuhi dengan jerung, dengan jerung putih besar mendahului senarai spesies yang mungkin memakan manusia.

    Tidak gentar, rakyat Australia tetap berpusu-pusu ke laut dalam jumlah yang besar, dengan tinjauan 2024 menunjukkan hampir dua pertiga daripada populasi membuat sebanyak 650 juta kunjungan ke kawasan pantai dalam setahun dan ramai daripada mereka sedia menerima risikonya.

    Apabila seekor jerung membunuh seorang peluncur, Mercury Psillakis, di pantai utara Sydney pada September lalu, keluarganya yang berdukacita menggelarnya sebagai ‘kemalangan yang tragis dan tidak dapat dielakkan.’

    Perairan yang semakin sesak dan peningkatan suhu laut yang kelihatan mempengaruhi corak migrasi jerung mungkin menyumbang kepada peningkatan serangan walaupun penangkapan ikan yang berlebihan mengurangkan beberapa jenis spesies, kata saintis.

    Lebih daripada 1,280 kejadian berkaitan jerung telah direkodkan di seluruh Australia sejak tahun 1791 di mana kira-kira 260 daripadanya membawa maut menurut pangkalan data kebangsaan.

    Gambar fail bertarikh 6 September menunjukkan pantai utara Sydney ditutup susulan serangan jerung di Long Reef Beach. – AFP
    Gambar fail bertarikh 14 November 2020 menunjukkan seekor anak jerung. – AFP
    Heys dan Eliza menerbangkan dron di Pantai Dee Why di Sydney pada 1 Oktober. – AFP
    Gambar menunjukkan Heys dengan dron besar di Pantai Dee Why di Sydney pada 1 Oktober. – AFP

    PENGESAN JERUNG

    Tetapi cara terbaik untuk melindungi manusia daripada jerung adalah topik sensitif di Australia.

    Pihak berkuasa telah menggunakan pelbagai pendekatan sama ada dengan menggunakan dron, memasang penjejak akustik pada jerung supaya ia dapat dikesan dengan mendengar boya berhampiran pantai yang popular, memberi amaran kepada orang ramai dalam masa nyata dengan aplikasi mudah alih dan memasang jaring lama.

    Dron telah menjadi sumber utama, mengesan lebih daripada 1,000 pemangsa pada tahun lalu ketika ia berkeliaran di perairan pantai New South Wales.

    “Kami berhati-hati,” kata pengendali dron Surf Life Saving New South Wales (NSW), Oliver Heys, kepada AFP.

    “Jika kami melihat sesuatu, kami akan turun ke bawah dan fokus dekat untuk melihat sama ada ia jerung berbahaya atau tidak.

    “Apabila kami melihatnya, jet ski atau bot penyelamat akan mengiringi jerung itu kembali ke laut,” katanya.

    Juruterbang mencari tiga spesies yang dianggap paling berbahaya iaitu jerung putih besar, jerung harimau dan jerung lembu.

    Daripada jumlah itu, ikan jerung putih besar telah menyumbang 42 peratus bagi serangan jerung sejak tahun 2000.

    ALAT TARIKAN JERUNG

    Walaupun jaring jerung dilancarkan setiap musim panas di NSW dan Queensland, penggunaannya hangat diperdebatkan.

    Tiga buah majlis tempatan di NSW merancang untuk menyingkirkan jaring dari beberapa buah pantai dalam percubaan tahun ini, tetapi membatalkan rancangan itu selepas kejadian serangan jerung pada September lalu di Sydney.

    Sokongan untuk jaring, yang boleh lebih lebar daripada padang bola sepak dan sehingga enam meter dalam, juga semakin berkurangan kerana jerung boleh berenang mengelilingnya dan jaring itu membunuh kebanyakan hidupan marin yang terjerat, termasuk penyu, ikan lumba-lumba, ikan dan pari yang terancam.

    Jaring sudah ketinggalan zaman dan boleh bertindak sebagai ‘alat tarikan’ apabila bangkai yang terperangkap menarik perhatian pemangsa, Leonardo Guida, saintis jerung di Persatuan Pemuliharaan Marin Australia, berkata kepada AFP.

    Ramai saintis menyokong teknik yang lebih canggih. Di NSW, tali gendang pintar iaitu boya yang berlabuh dengan mata kail dengan umpan memberikan amaran apabila jerung menggigit, membolehkan haiwan tersebut ditandai.

    Aplikasi mudah alih yang dipanggil Shark Smart kemudiannya memberi amaran kepada perenang, pelayar, penyelam dan pemancing dalam masa nyata apabila jerung yang ditandai menghampiri boya di pantai kegemaran mereka.

    Tetapi teknologi tersebut hanya berfungsi jika pemburu akuatik telah ditandai atau berenang berhampiran boya yang boleh mengesannya.

    Negeri-negeri Australia lain bergantung pada struktur seperti dinding yang menutup tanjung untuk melindungi perenang.

    PAKAIAN SELAM TAHAN GIGITAN

    Saintis juga cuba menjadikan pertemuan jerung kurang berbahaya dengan langkah-langkah seperti bahan tahan gigitan dan pencegah elektronik.

    Sesetengah pakaian selam tahan gigitan boleh mengurangkan kecederaan dan kehilangan darah, yang merupakan penyebab kematian paling biasa berlaku akibat gigitan jerung, menurut kajian yang dilakukan oleh profesor Universiti Flinders, Charlie Huveneers dan pasukannya yang dibiayai oleh NSW.

    Kajian Huveneers sebelum ini juga mendapati bahawa peranti elektronik peribadi yang berkesan dan direka untuk menghalau jerung dengan menggunakan sistem elektro-sensori mereka boleh mengurangkan gigitan sebanyak kira-kira 60 peratus.

    “Australia berada di barisan hadapan dalam langkah-langkah pencegahan gigitan jerung,” katanya.

    “Kita sebenarnya boleh menyelamatkan nyawa,” tambahnya.

    Para penyelidik mengatakan nyawa jerung juga perlu dilindungi.

    Di peringkat global, kira-kira 37 peratus spesies jerung dan pari lautan kini disenaraikan sebagai terancam atau sangat terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi, menurut pangkalan data global untuk spesies terancam. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda