BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Dis – Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) dengan sokongan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), hari ini, telah menganjurkan Muzakarah Ilmuan Kewangan Islam (MIKI) ketiga di Dewan Kuliah, CIBFM, Bangunan ILIA, Kampus Universiti Brunei Darussalam, Jalan Tungku Link.
Bertemakan ‘Inovasi Teknologi dalam Kewangan Islam’, forum tersebut telah dihadiri oleh pegawai dan kakitangan AMBD, wakil-wakil dari Syarikat Takaful Brunei Darussalam (TBD), Insurans Islam TAIB (IITSB), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Jabatan Mufti Kerajaan, Tabung Amanah Pekerja (TAP), serta pensyarah-pensyarah dan mahasiswa serta mahasiswi dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Dengan dipengerusikan oleh Pengurus Kewangan Islam AMBD, Awang Muhammad Zul Hamzi Faiz bin Haji Mohd Zali, forum berkenaan mendengarkan empat topik pembentangan iaitu ‘InsurTech: Perspektif Takaful Brunei’ oleh Pegawai Eksekutif TBD, Dayang Nur Fadilah binti Haji Duah; ‘Evolusi Perkhidmatan di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei’ oleh Pegawai Eksekutif TAIB, Dayang Muniirah binti Awang Mahali; ‘Smart Contract dari Perspektif Syarak’ oleh Penolong Pengurus BIBD, Hajah Nurul Akmalina binti Haji Yahya dan ‘Revolusi Industri 4.0’ oleh Pegawai Eksekutif IITSB, Dayang Nabilah binti Haji Abdul Rahim.
Menurut kenyataan CIBFM, MIKI merupakan platform perbincangan khas di peringkat profesional mengenai hal ehwal terkini dalam industri kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam.