Tuesday, October 1, 2024
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inovasi, teknologi kunci kejayaan perkhidmatan awam

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Dalam usaha untuk menjana transformasi dalam perkhidmatan awam yang menuntut perubahan menyeluruh dalam cara bekerja serta berinteraksi dengan masyarakat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei

    Darussalam, memperkenankan penubuhan Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam.

    Jawatankuasa berkenaan diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri dengan melibatkan keahlian sektor swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    “Dengan kepelbagaian keahlian ini nanti, diharapkan sebarang dasar atau pembaharuan akan dapat dipertimbangkan secara holistik dengan penekanan kepada pendekatan whole of nation dan whole of government,” titah Baginda pada Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-31, 2024, yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Dalam titah, Baginda mengingatkan supaya setiap penjawat awam sentiasa memelihara dan menanai misi kerajaan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-31 di Dewan Plenari, ICC, Berakas kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Walaupun kita sudah banyak mencapai kejayaan, namun kita mesti terus berusaha untuk memperbaiki lagi keupayaan diri.

    “Dalam dunia yang semakin kompleks, warga penjawat awam perlu mencari peluang-peluang baharu, mencipta nilai tambah dan berfikir ligat untuk melihat perkhidmatan awam terus berada di hadapan.”

    Terdahulu, Baginda Sultan bertitah dunia yang cepat berubah memerlukan perkhidmatan awam yang lebih bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran baharu yang muncul. Untuk mencapai matlamat perkhidmatan awam, kunci utama adalah inovasi dan teknologi.

    “Melalui teknologi canggih dan pendekatan inovatif, kita tidak hanya meningkatkan efisiensi dan kualiti perkhidmatan, tetapi juga memastikan bahawa setiap yang berkenaan dapat pengalaman yang sempurna.”

    Baginda Sultan bertitah, “Dengan teknologi terkini seperti sistem data besar, kecerdasan buatan dan aplikasi mudah alih, kita akan dapat merumuskan strategi yang lebih baik, meramalkan keperluan masyarakat dengan lebih tepat dan menyampaikan perkhidmatan dengan lebih berkesan.

    “Namun, inovasi dalam perkhidmatan awam bukan hanya terhad kepada pengenalan sistem baharu, tetapi juga melibatkan perubahan cara berfikir dan bekerja.”

    Baginda Sultan seterusnya bertitah mengenai buku yang mengetengahkan aspek kepimpinan, Tokoh Jasawan Negara, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang bukan sahaja terkenal dengan kebijaksanaan Baginda dalam hal ehwal kenegaraan, malah juga sangat prihatin terhadap kemajuan perkhidmatan awam.

    “Dengan wawasan Baginda yang jauh ke hadapan, Al-Marhum telah berjaya mengasaskan dasar-dasar pentadbiran yang berdaya maju serta responsif terhadap kepentingan rakyat,” titah Baginda.

    “Al-Marhum juga sentiasa menekankan nilai integriti, profesionalisme dan disiplin dalam kalangan kakitangan awam.

    “Dalam mengenang kepimpinan Al-Marhum, kita perlu mencontohi nilai-nilai murni dan meneruskan legasi Al-Marhum dalam menjaga dan memajukan perkhidmatan awam demi kemakmuran negara.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda