MANILA – Jeepney menjadi ikon pengangkutan awam di Filipina yang turut dikenali sebagai ‘Raja di Jalan Raya’ berpotensi untuk berhadapan dengan perubahan.
Merupakan satu peninggalan dari peristiwa Perang Dunia Kedua, sejarah penggunaan Jeepney adalah bertitik tolak daripada evolusi jip yang sering digunakan oleh tentera AS.
Kenderaan tersebut telah diubahsuai dan direka semula oleh warga Filipina sejak berdekad yang lalu sehingga menjadikannya sebagai salah satu pengangkutan awam popular dan pilihan utama di negara tersebut.
Pada kebiasaanya, badan Jeepney tersebut akan dicat dengan warna yang terang dan juga turut dihiasi dengan seni serta slogan yang menarik. Malah di bahagian depan hudnya pula diletakkan satu lambang kuda yang tampil dalam keadaan berkilat.
Kenderaan tersebut dikuasakan dengan enjin yang menggunakan minyak Diesel, Jeepney sering menjadi pengangkutan utama bagi golongan pekerja di Filipina berikutan daripada kadar caj tambang yang dikenakan biasanya murah.
Namun ia juga memiliki keburukan di mana kepulan asap hitam berikutan penggunaan minyak Diesel sering dipersalahkan sebagai punca utama yang mencetuskan masalah pencemaran udara di Manila.
Kini, program pemodenan Filipina telah merancang untuk melakukan perubahan utama pada Jeepney dan kebanyakan pengangkutan awam yang lain dengan meningkatkan enjin, keselamatan dan kemudahannya.
Sementara, Jeepney yang berada pada tahap lama perlu ditukar enjinnya, dilengkapi dengan Wi-Fi dan kamera keselamatan yang turut membimbangkan kebanyakan pemiliknya dengan menjelaskan bahawa mereka tidak berkemampuan untuk melakukannya.
George San Mateo yang mengetuai perkumpulan pemandu dan pemilik kenderaan di bawah nama Piston menjelaskan bahawa program kerajaan itu secara tidak langsung akan menjejaskan sumber pendapatan 600,000 pemandu dan 250,000 pemilik di samping terpaksa menaikkan caj tambang.
San Mateo juga turut menjelaskan bahawa ia adalah sukar bagi pengusaha untuk membeli Jeepney yang baru dengan kadar harga mencecah sehingga 1.2 ke 1.6 juta peso (AS$23,000-AS$31,000) tambahan lagi dalam keadaan pihak kerajaan yang tidak menyediakan sebarang bantuan kewangan.
Kebanyakan pemandu juga membantah berhubung mengenai perkara tersebut dan telah diberikan amaran oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berhubung mengenai tindakan tunjuk perasaan yang berlangsung selama dua hari pada bulan lalu.
“Menjelang 1 Januari ini, sekiranya saya masih lagi mendapati sebarang jip yang tidak didaftarkan maka saya tidak akan teragak-agak untuk memberhentikan operasi dengan serta-merta,” jelas presiden dalam nada yang tegas.
“Ia merupakan satu perkara yang biasa untuk menyaksikan sebarang bantahan apabila sesuatu perubahan diperkenalkan. Namun pihak kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk meyakinkan para pemilik dan pemandu ini akan mengikuti program yang dapat memberikan manfaat kepada mereka, orang awam dan alam sekitar,” jelas Aileen Lizada dari Lembaga Pengangkutan Darat dan Lembaga Peraturan.
Ed Sarao yang merupakan anggota keluarga yang menguruskan Sarao Motors Inc adalah antara pengeluar Jeepney di Filipina menjelaskan bahawa syarikat mereka menantikan ketegangan krisis segera reda sebelum penguatkuasaan program pemodenan dimulakan.
“Pada masa ini orang ramai masih selesa untuk menaiki Jeepney yang lama,” jelas Sarao sambil menambah bahawa terdapat juga beberapa pihak yang turut mendambakan agar Jeepney moden dapat segera beroperasi di jalan raya.
“Saya menjelaskan kepada mereka bahawa pihak kerajaan masih belum mengeluarkan sebarang isyarat dan mereka selaku pihak pengeluar setentunya akan terus menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakannya,” jelas Sarao.
Promosi juga telah giat dilaksanakan dan baru-baru ini Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau telah dijemput untuk merasai sendiri pengalaman untuk menaiki e-jeep yang beroperasi dengan kuasa elektrik sebagai pengisian acara di luar sidang kemuncak diplomatik tahunan yang berlangsung pada tahun ini di Manila.
“Beliau jelas berasa gembira dan dapat melihat aspirasi dalam fasa perubahan dalam kehidupan warga Filipina malah beliau juga sangat menghargai keindahan kreativiti yang ditonjolkan pada pengangkutan awam tersebut,” jelas Setiausaha Pengangkutan Filipina, Arthur Tugade yang turut mengiringi Trudeau ke upacara tersebut.
Pihak pengeluar Jeepney moden baru-baru ini telah melancarkan model terbaru yang dilengkapi dengan kamera keselamatan, penunjuk had laju, penghawa dingin dan sistem pembayaran secara automatik yang jelas dapat memberikan keselesaan kepada para penumpang.
Malah model Jeepney terbaru itu juga turut didatangkan dalam bentuk saiz yang pelbagai terdiri daripada berukuran sebesar sebuah bas dan ada juga yang menyamai seperti Jeepney berbentuk tradisi, Robertp Martin, Presiden Kumpulan Pemandu dan Pemilik Jeepney yang dikenali sebagai Pasang Masda menjelaskan bahawa ia merupakan satu masa terbaik bagi para pengusaha pengangkutan awam untuk menukar kenderaan yang memiliki enjin beroperasi selama 30 ke 40 tahun demi memelihara keadaan alam sekitar dan kesihatan awam.
“Jeepney yang lama hanya sesuai untuk diletakkan di dalam muzium dan sekiranya terdapat individu yang berhasrat untuk melihatnya lebih baik untuk membawa mereka ke sana,” jelas Martin.
Victorino Samson, 62, yang membesarkan keluarga dan anaknya hanya bersandarkan hasil pendapatan selaku pemandu Jeepney selama lebih tiga dekad membantah penguatkuasaan program tersebut dan menjelaskan bahawa tindakan itu secara tidak langsung menghapuskan tradisi Jeepney sekaligus menjejaskan pendapatan lebih ribuan pemandu yang lain. Malah beberapa orang anak lelaki Samson juga turut menyara kehidupan dengan menjalankan tugas yang sama seperti bapanya.
“Ke manakah hala tuju jip kami dan bagaimana pula nasib para pemandunya,” jelas Samson dalam nada kebimbangan. – AP