BELAIT, 22 JUN – Shell LiveWIRE Brunei telah memberi penghormatan kepada Mindtrex Academy pada satu majlis penyerahan anugerah bagi mengiktiraf kejayaan sebagai naib juara dalam kategori Inovasi Perniagaan bagi pertandingan global Shell Top Ten Innovators (TTI) 2025, kelmarin.
Menurut kenyataan Shell LiveWIRE Brunei, Mindtrex Academy merupakan platform teknologi pendidikan pertama di Brunei, telah dipilih daripada lebih 100 usahawan dari 13 buah negara.
Platform itu menggunakan modul interaktif berasaskan permainan dan panduan berpaksikan data untuk membantu pelajar — terutamanya daripada komuniti kurang berkemampuan — membina asas kukuh dalam celik huruf dan numerasi.
Kemuncak majlis tersebut adalah penyerahan sijil, anugerah dan replika cek berjumlah AS$10,000 kepada Mindtrex Academy oleh Naib Presiden dan Pengerusi Negara bagi Syarikat-syarikat Shell di Brunei, Henry Bristol.
Dayangku Nur Su’aidah binti Pengiran Haji Metussin dari Mindtrex Academy mengongsikan bahawa memenangi anugerah dalam Shell Top Ten Innovators merupakan detik yang amat bermakna bagi Mindtrex Academy dan juga untuk Brunei.
“Walaupun negara kita kecil, saya benar-benar percaya kita memiliki idea yang besar dan semangat lebih besar.
“Keseluruhan pengalaman ini mengingatkan saya kepada tujuan asal penubuhan Mindtrex iaitu untuk memberikan setiap kanak-kanak peluang untuk belajar, berkembang dan berjaya, tanpa mengira latar belakang.
“Pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk kami terus maju ke hadapan,” ujarnya.
Anugerah Inovasi Perniagaan mengiktiraf syarikat pemula yang menggunakan pendekatan inovatif dalam menyelesaikan cabaran penting dalam industri, perniagaan atau masyarakat.
Shell Top Ten Innovators Awards ialah pertandingan global yang meraikan usahawan Shell LiveWIRE yang membangunkan penyelesaian yang memacu inovasi perniagaan, kelestarian alam sekitar dan impak sosial.
Dengan para pemenang dari empat benua, program itu membuktikan peranan penting keusahawanan dalam menjana perubahan yang inklusif dan berkekalan.
Pencapaian itu turut menjadi satu kejayaan penting bagi Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), yang sentiasa menyokong Shell LiveWIRE Brunei dalam membangunkan usahawan tempatan yang berkualiti.
Pengiktirafan global terhadap Mindtrex Academy mencerminkan kekuatan dan potensi ekosistem inovasi Brunei yang semakin berkembang, sekali gus membuktikan bahawa dengan sokongan yang tepat, idea tempatan mampu memberi impak di peringkat antarabangsa.