BONDO, Kenya – Sehingga baru-baru ini, Molly merasa sukar untuk membayangkan kehidupan yang berulang-ulang setiap hari: bekerja di ladang orang lain dan mendapat pulangan cukup-cukup makan, secara berterusan.
“Ia adalah satu putaran yang sungguh kejam sehingga saya tidak dapat melepaskan diri,” kata penduduk kampung berusia 25 tahun di wilayah Bondo di barat Kenya.
Kehidupan tandus dan di luar bandar adalah sama bagi kebanyakan penduduk di Siaya County di mana mereka menghasilkan jagung, milet dan kapas di tanah kuning.
Tetapi itu sebelum pengenalan insentif bantuan tunai yang dikenali sebagai ‘pendapatan asas sejagat’ di kampungnya. Ia adalah sebahagian daripada kajian besar, intensif, bertahun-tahun lamanya yang bertujuan untuk mencari jalan baharu untuk menamatkan kemiskinan di Afrika.
Molly mula menerima bantuan bulanan tetap sebanyak 2,250 shillings (AS$22, 19 euro) dua tahun yang lalu dan sejak itu ‘semuanya telah berubah’, katanya.




“Saya mampu menyimpan untuk menjalani pengajian sebagai seorang guru sekolah tadika,” katanya dengan bangga di dalam rumah simennya beratapkan timah.
“Ia sedikit sebanyak mengubah corok kehidupan saya.”
Dengan latihan amali berbayar di sekolah kampung, Molly telah membina asas pendapatan sejagat untuk melihat pendapatan bulanannya lebih daripada dua kali ganda hingga AS$50, meluaskan pandangannya.
“Sebelum ini, saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk bertahan tapi sekarang saya mempunyai rancangan … Saya juga telah pergi ke pendandan rambut sekali setiap dua bulan,” katanya sambil tersenyum.
Menurut Bank Dunia, lebih sepertiga dari hampir 50 juta rakyat Kenya tinggal di bawah garis kemiskinan antarabangsa iaitu AS$1.90 sehari.
Kampung Molly adalah salah satu tempat yang dipilih oleh badan amal AS, Give Directly, untuk menguji teori pendapatan asas sejagat.
Rantau ini dipilih kerana kemiskinan dan kestabilannya dan juga secara kebetulan, keberkesanan sistem pemindahan wang mudah alih Kenya, M-Pesa, yang memudahkan pengagihan pembayaran.
Ditubuhkan pada tahun 2010 dan beroperasi di enam negara Afrika, Give Directly menghantar wang terus kepada golongan miskin yang membolehkan mereka memilih keutamaan mereka dan bukannya orang luar yang ‘memutuskannya’, kata jurucakap bukan keuntungan, Caroline Teti.
Sebelum ini, para penerima diberikan sekaligus, tetapi sekarang pembayaran bulanan sedang diuji.
“Apabila anda memberi wang kepada seseorang secara bulanan, adakah mereka akan berhenti bekerja?
“Adakah mereka akan mengambil risiko dalam cara mereka melabur kerana mereka akan mendapat pendapatan dalam apa saja yang berlaku? Bagaimana ia mempengaruhi aspirasi mereka?” kata Teti dari beberapa pertanyaan semasa uji kaji program tersebut.
“Terdapat perdebatan global mengenai pendapatan sejagat dan kami mahu bukti untuk terus maju,” katanya.
Kajian ini adalah yang terbesar di dunia dan akan melibatkan 20,000 orang di barat Kenya.
Penduduk di 40 kampung akan menerima AS$22 sebulan selama 12 tahun, 80 kampung lagi akan menerima jumlah yang sama untuk hanya dua tahun, sementara 76 kampung lagi akan menerima dua bayaran sekaligus sebanyak AS$507 dalam jarak dua bulan.
Jiran Molly, Edwin, 29, berharap dapat menggantikan pondok lumpurnya itu dengan rumah simen, sementara Monica dan suaminya telah melabur dalam bidang pertanian ayam secara kecil-kecilan.
“Kami mempunyai kandang baharu dan beberapa ekor ayam,” kata Monica, 30.
Dia berharap dapat menghantar tiga anaknya ke sekolah supaya mereka tidak akan “hidup dalam kemiskinan, seperti kita”.
Tanpa rasa ‘terhina’ daripada preskripsi penderma, “semua penduduk di kampung ini menggunakan wang itu secara berbeza-beza,” tambahnya.
Give Directly percaya bahawa pendapatan asas sejagat adalah sangat berguna, tetapi itu bukan penyelesaiannya.
“Apabila anda berada dalam situasi konflik, anda mungkin terjejas di luar asas (keperluan), anda mungkin tidak mempunyai tempat untuk tidur, anda lebih terdedah kepada penyakit,” kata Teti.
“Dalam konteks itu, pendapatan asas ini boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian, tetapi ia tidak boleh menjadi penyelesaian tunggal.”
Tambahnya lagi, ia adalah pengganti bagi kewajipan negeri itu untuk menyediakan asas kehidupan seperti sekolah dan penjagaan kesihatan.
Bagi penduduk kampung yang terlibat dalam percubaan pendapatan asas ini, wang itu membantu tapi bukan penyelesaian dan juga peluang, bukan untuk dirampas atau dihabiskan secara boros.
“2,250 shillings tidak mencukupi untuk membeli barang-barang yang tidak berguna,” kata Hakim Samson, 72, menjelaskan mengapa penduduk kampung tidak membazirkan wang yang diberikan kepada mereka.
“Ia hanya cukup untuk makan dan keluar daripada kemiskinan.”
Monica telah melaburkan wangnya itu untuk memberi kemudahan dan faedah kepada keluarganya, tetapi merasa bimbang jika program pendapatan asas ini berjaya, yang lain mungkin tidak mengamalkan berjimat cermat.
“Mungkin pada masa akan datang, ada yang akan melupakan tentang apa yang kita jalani ini dan mula membeli sesuatu yang tidak patut,” katanya, tetapi kemudian menambah: “Saya tidak fikir itu akan berlaku.” – AFP