TEL AVIV, 29 MEI– Kejadian berebut bantuan di sebuah gudang milik Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Semenanjung Gaza telah mengakibatkan beberapa orang maut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) kelmarin.
Sumber perubatan di Hospital al-Aqsa di Deir al-Balah melaporkan dua individu maut akibat dihimpit dalam kesesakan orang ramai manakala dua lagi terbunuh akibat tembakan.
WFP mengesahkan insiden berebut bantuan di sebuah gudangnya yang terletak di tengah-tengah wilayah Gaza yang dilanda konflik.
Menurut kenyataan yang disiarkan di platform X, ‘gerombolan orang ramai yang kelaparan’ dilaporkan menyerbu gudang itu untuk mendapatkan bekalan makanan yang telah disediakan lebih awal untuk diagihkan.
Pertubuhan itu pada awalnya melaporkan dua kematian dan ramai yang cedera dalam insiden berkenaan.
Saksi kejadian memaklumkan berlaku kesesakan teruk di pintu utama gudang itu.
Terdapat juga laporan bahawa beberapa individu telah merobohkan dinding logam gudang untuk masuk ke dalam premis. Video di media sosial menunjukkan ramai orang menyerbu dan menjarah gudang itu sambil menjerit. – Bernama
