TAWAU, 10 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) petang ini menemukan dua lagi mayat terbaru, mangsa bot karam di perairan Batu Payung di sini pada Selasa.
Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Tawau, Komander Maritim Romli Mustafa berkata kedua-dua mayat itu dikesan di perairan Kinabutan, Tawau dan perairan Selatan Tinagat bersempadanan Indonesia oleh Unit Udara Maritim pesawat AW 139 Agusta (maritim 713) antara 3:50 petang dan 4 petang.
“Mayat pertama dikenal pasti sebagai mayat kanak-kanak perempuan berumur lingkungan enam hingga lapan tahun manakala seorang lagi mayat adalah lelaki berumur 40-an,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.
Katanya, kedua-dua mayat dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
Setakat ini, 13 daripada 15 mangsa tragedi bot karam telah ditemui. Daripada jumlah itu empat terselamat manakala bakinya meninggal dunia.
Dalam pada itu, Romli berkata operasi SAR akan disambung esok tetapi rondaan operasi maritim pada malam ini akan turut mengesan dua lagi mangsa bot karam yang masih hilang.
“Kami khuatir pencarian yang masuk pada hari kelima dan keenam, mayat akan tenggelam dan usaha mencari itu akan lebih sukar,” katanya lagi.
Sementara itu, Romli berkata sektor pencarian SAR yang disambung semula pada 6:30 pagi esok akan menumpukan pada perairan yang menemukan dua mayat terbaru itu.
“Menerusi penemuan mayat ini, kami sudah tahu corak pencarian bagi SAR seterusnya,” katanya. – Bernama