Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) menjelaskan bahawa insiden bot tambang yang berlaku pada waktu tengah hari, 25 Disember lalu di Jeti Sungai Lampai melibatkan tujuh orang pelancong warganegara Jerman, terdiri daripada empat orang lelaki dan tiga orang perempuan serta seorang pemandu bot warganegara Malaysia.
MPABD membuat penjelasan ini dalam kenyataan yang dikeluarkan berikutan penularan gambar-gambar dan rakaman video mengenai insiden berkenaan. Kenyataan turut menyatakan bahawa kesemua penumpang dan pemandu yang terlibat dalam insiden tersebut adalah dalam keadaan selamat dan tanpa sebarang kecederaan.
Melalui siasatan awal pihak MPABD, punca kemalangan disebabkan lebih muatan penumpang dan bot penambang yang dipandu oleh Asri bin Taram @Rahman didapati tidak berdaftar dan tidak mempunyai sebarang alat keselamatan di dalam bot tersebut. Beliau juga tidak memiliki Sijil Kecekapan Kelas 9 (Terhad).
Dalam hubungan itu, MPABD mengambil serius akan kejadian berkenaan, lebih-lebih lagi melibatkan keselamatan orang awam dan akan mengambil tindakan undang-undang yang berpatutan.
MPABD mengingatkan orang ramai khususnya para pengguna bot-bot untuk sentiasa menggunakan jaket keselamatan semasa dalam perjalanan menggunakan bot di perairan Negara Brunei Darussalam.