Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Insiden kebakaran hutan merebak di seluruh Eropah

    ISTANBUL, 6 JULAI – Beberapa kebakaran hutan tercetus kelmarin di beberapa negara Eropah termasuk Greece, Turkiye dan Perancis, selepas wilayah selatan benua itu mengalami gelombang haba berpanjangan.

    Di Turkiye, pasukan bomba telah memadam lebih 600 kebakaran dalam seminggu lalu di negara yang dilanda kemarau, menurut pihak berkuasa. Seorang anggota perhutanan yang cedera ketika memadam kebakaran di wilayah Izmir disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya.

    Kebakaran yang berlaku kira-kira 100 kilometer ke timur kawasan peranginan pesisir Izmir itu sebelum ini turut meragut nyawa seorang lelaki berusia 81 tahun yang uzur dan seorang lagi anggota perhutanan berusia 39 tahun pada Khamis.

    Kebakaran tersebut berjaya dikawal pada malam Jumaat bersama enam kebakaran hutan lain, kebanyakannya di bahagian barat dan tengah Turkiye, menurut Menteri Pertanian dan Perhutanan, Ibrahim Yumakli menerusi platform X.

    Kelmarin, pasukan bomba masih berusaha memadamkan kebakaran di kawasan pesisir selatan Dortyol yang terletak berhampiran sempadan Syria.

    Turkiye sebelum ini tidak banyak terjejas oleh gelombang haba yang melanda Eropah selatan, tetapi angin kencang telah memburukkan lagi keadaan kebakaran hutan.

    Perkhidmatan cuaca Perancis, Meteo-France, mengumumkan kelmarin bahawa gelombang haba teruk yang bermula sejak 19 Jun telah berakhir secara rasmi pada Jumaat, menjadikannya berlangsung selama 16 hari – sama tempoh dengan gelombang haba maut pada tahun 2003.

    Namun pada hari yang sama, kebakaran utama pertama musim ini tercetus di selatan negara itu, termasuk di wilayah Bouches-du-Rhone dan Herault, memaksa pihak berkuasa menutup beberapa bahagian lebuh raya utama semasa hujung minggu pertama musim cuti musim panas.

    Kesesakan lalu lintas mencecah sehingga 10 kilometer di kedua-dua arah di Lebuh Raya A9, dan air minuman diagihkan kepada pengguna jalan raya yang terperangkap di bawah terik matahari.

    Di Mireval, berhampiran bandar selatan Montpellier, kebakaran yang dipacu angin kencang menyebabkan kira-kira 10 penduduk dipindahkan oleh pasukan bomba. – AFP

    Seorang lelaki berjalan di antara rumah yang terbakar di kampung Karadogan dekat Odemis, Turkiye pada 4 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda