Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Panggilan kecemasan yang melibatkan insiden kebakaran kereta dari Januari hingga Mei 2020 meningkat jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada 2019 di mana dari Januari hingga Mei 2020, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima sebanyak 41 panggilan kecemasan melibatkan insiden kebakaran kereta dengan anggaran kerugian sebanyak $119,750.
Menurut statistik kebakaran kereta berkenaan lagi, lapan kejadian kebakaran kereta dicatatkan pada Januari, enam kejadian pada Februari, tujuh kejadian pada Mac, 13 kejadian pada April dan tujuh kejadian pada Mei.
Pada masa yang sama, secara purata, JBP juga menerima dua panggilan insiden kebakaran kereta setiap minggu.
Manakala itu, dari Januari hingga Mei 2019, sebanyak 40 panggilan kecemasan diterima iaitu lima panggilan pada Januari 2019, tujuh panggilan pada Februari 2019, 10 panggilan pada Mac 2019, tujuh panggilan pada April 2019 dan 11 panggilan pada Mei 2019.
Sehubungan dengan itu, JBP menyarankan orang ramai untuk lebih peka dalam mengetahui aspek keselamatan kebakaran bagi menghindarkan kejadian kebakaran kereta daripada berlaku.
“Insiden kebakaran kereta menjadi satu trend panggilan yang sedang meningkat pada masa ini dan harus diambil serius dalam menangani dan mengurangkan berlakunya insiden kebakaran kereta,” jelas Ketua Bahagian Kenderaan, Kejuruteraan dan Teknikal JBP, Penguasa Bomba dan Penyelamat Pengiran Haji Asmali bin Pengiran Haji Ahmad semasa sidang media bersama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), JBP dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengenai kejadian kereta terbakar.
Terdapat lima kategori punca utama kebakaran kereta iaitu masalah elektrik dalam kereta, masalah mekanikal, kesalahan atau kecuaian manusia, hentakan kuat akibat kemalangan dan sampah yang dibakar atau perunan yang ditinggalkan lalu melarat mengakibatkan kebakaran kereta, jelas Penguasa Bomba dan Penyelamat Pengiran Haji Asmali dalam sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat JPD, Beribi, hari ini.
Menerangkan lanjut mengenai punca utama insiden kebakaran kereta, beliau menyatakan bahawa daripada masalah elektrik dalam kereta, ia melibatkan kerosakan komponen sistem elektrik dalam enjin, kerosakan bahagian pendawaian sistem, kerosakan bahagian Anti-Lock Braking System (ABS) dan kerosakan kotak fius, bagi masalah mekanikal, ia melibatkan kerosakan komponen mekanikal, kebocoran hos minyak atau saluran di komponen kereta dan penyambungan yang longgar serta bagi kesalahan dan kecuaian manusia, ia melibatkan kurang pengetahuan dalam pemilihan alat ganti komponen kereta, membiarkan enjin kereta dalam keadaan hidup dan perunan yang ditinggalkan lalu melarat ke kawasan letak kereta.
JBP menyarankan orang ramai untuk lebih peka dalam mengetahui aspek keselamatan kebakaran bagi menghindarkan kejadian kebakaran atau kemalangan kereta daripada berlaku dengan mempunyai alat pemadam api jenis Dry Chemical Powder 1 kilogram dan disimpan dalam kenderaan mereka, menghentikan sebarang pengubahsuaian te rhadap reka bentuk asal kenderaan, tidak membuat pengubahsuaian pada sistem pendawaian dengan sembarangan tanpa mengikuti spesifikasi asal kenderaan serta kemampuan enjin berkenaan.
