BANDUNG, 12 MEI – Sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk sembilan orang awam, maut hari ini apabila tentera Indonesia cuba melupuskan peluru yang ditolak dengan meletupkannya di dalam sebuah lubang, menurut pegawai.
Letupan itu berlaku di daerah Garut, wilayah Jawa Barat, kira-kira 300 kilometer dari ibu negara.
“Ketika pasukan sedang menyusun alat peledak di dalam lubang, tiba-tiba berlaku letupan yang menyebabkan 13 orang terbunuh,” kata jurucakap tentera, Wahyu Yudhayana.
Beliau berkata dalam sidang media bahawa dua kelompok peluru telah berjaya dilupuskan sebelum cubaan ketiga berakhir dengan tragedi.
Empat daripada mangsa merupakan anggota tentera, katanya, sambil menambah bahawa tidak jelas mengapa orang awam berada di kawasan berkenaan pada waktu kejadian.
Pihak tentera memaklumkan bahawa lokasi tersebut telah digunakan beberapa kali sebelum ini.
“Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden ini,” katanya.
Tahun lalu, beberapa siri letupan turut berlaku di sebuah gudang peluru milik tentera di pinggir Jakarta.
Pihak berkuasa terpaksa memindahkan penduduk berhampiran ke kawasan lebih selamat apabila api marak membakar fasiliti penyimpanan itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – AFP
