NICOSIA, 30 SEPT – Presiden Cyprus kelmarin telah memecat ketua polis, timbalannya dan pemangku pengarah kompleks penjara pusat negara itu selepas insiden memalukan melibatkan seorang pembunuh yang telah disabit bersalah melarikan diri sementara dalam kawalan ketika mendapat pelepasan selama lapan jam untuk melawat keluarga.
Jurucakap kerajaan, Constantinos Letymbiotis, memuat naik di platform media sosial X bahawa Presiden Nikos Christodoulides segera mengambil keputusan untuk menggantikan Ketua Polis Stylianos Papatheodorou dan timbalannya, Demetris Demetriou, sejurus kembali lewat kelmarin dari New York di mana beliau menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Mengambil alih jawatan ketua pasukan polis negara pulau itu adalah Themistos Arnaoutis, manakala Panikos Stavrou telah dilantik sebagai timbalannya.
Letymbiotis berkata presiden mungkin mencadangkan agar Constantinos Constantinides mengambil alih sebagai Pemangku Pengarah Penjara Pusat.
Christodoulides tidak membuang masa sejurus pulang selepas Doros Theophanous melarikan diri, yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas pembunuhan pasangannya yang hamil dan anak perempuan mereka berusia 4 tahun pada tahun 2011.
Operasi memburu di seluruh negara berakhir dengan penangkapan Theophanous awal kelmarin, dilaporkan selepas dia dikenalpasti semasa membeli-belah di sebuah kedai serbaneka di Limassol.
Tiga pegawai polis dan empat pengawal penjara yang mengawasi Theophanous, 42, semasa dia menghadiri perjumpaan keluarga di rumah mereka di Paphos telah digantung tugas sementara menunggu siasatan berhubung kemungkinan kecuaian dalam tugas dan kesalahan tatatertib lain, menurut kenyataan Kementerian Kehakiman.
Kejadian itu menimbulkan kemarahan orang ramai, menyebabkan reputasi pasukan polis tercemar ketika Christodoulides bergelut dengan persepsi meluas mengenai rasuah dan ketidakcekapan pihak berkuasa. – AP