Saturday, February 8, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Insiden pencerobohan trek akan disiasat

    MELBOURNE, 3 APRIL – Ketua Grand Prix (GP) Australia berjanji untuk melakukan penyiasatan menyeluruh hari ini selepas peminat memasuki trek sebelum perlumbaan tamat secara rasmi, sambil mengatakan bahawa akibatnya ‘boleh menjadi dahsyat’.

    Badan induk sukan tersebut, FIA, kelmarin memanggil penganjur untuk memberikan penjelasan selepas perlumbaan, memutuskan bahawa pencerobohan tersebut merupakan pelanggaran serius kod sukan dan menuntut mereka ‘segera menyediakan pelan pemulihan rasmi’.

    Rakaman menunjukkan ‘kumpulan besar’ daripada sejumlah 131,000 penonton merempuh penghadang dan memanjat pagar hanya beberapa meter dari kereta yang sedang dipandu laju dalam perlumbaan penuh drama yang dimenangi oleh Max Verstappen dari Red Bull.

    Sesetengah daripada mereka dapat mencapai jentera Haas yang terdampar milik Nico Hulkenberg, yang terletak di pintu keluar Selekoh 2 selepas menduduki tempat ketujuh.

    FIA berkata “Langkah-langkah keselamatan dan protokol yang sepatutnya diterapkan untuk acara itu tidak dilaksanakan, lantas mengakibatkan persekitaran yang tidak selamat untuk para penonton, pemandu dan pegawai perlumbaan”.

    Peminat Formula 1 melawat lorong pit sebelum sesi latihan ketiga GP Australia di Litar Albert Park, Melbourne, baru-baru ini. – AFP

    Ketua Korporat GP Australia, Andrew Westacott berkata penganjur masih tidak pasti apa yang berlaku, tetapi mengaku ia tidak dapat diterima.

    “Terdapat kebenaran terhad bagi orang ramai untuk masuk ke trek selepas perlumbaan berakhir dan selepas kereta keselamatan berlalu,” katanya kepada penyiar kebangsaan, ABC.

    “Para penonton telah merosakkan salah satu garisan, kita belum tahu bagaimana ia berlaku.”

    Westacott berkata para pegawai akan meneliti rakaman kamera keselamatan untuk mengenal pasti bagaimana pencerobohan tersebut berlaku.

    “Kami mempunyai banyak CCTV dan kami perlu meneliti banyak rakaman dalam beberapa minggu yang akan datang,” katanya. “Sukan permotoran adalah berbahaya. Ia boleh menjadi sangat mengerikan.”

    Kemenangan Verstappen, selepas perlumbaan dikibarkan bendera merah tiga kali, memperluaskan kelebihannya ke atas rakan sepasukannya, Sergio Perez dalam kejuaraan dunia sebanyak 15 mata selepas tiga grand prix.

    Red Bull mendahului kedudukan pengeluar dengan 58 mata berbanding Aston Martin, dengan Mercedes di tempat ketiga. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda