Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Insiden rempuhan Piala Teluk ragut satu nyawa

    BASRA, IRAQ, 19 JAN – Seorang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera hari ini apabila rempuhan berlaku di luar stadium bola sepak di Iraq, beberapa jam sebelum perlawanan akhir Piala Teluk, kata sumber perubatan dan keselamatan.

    Iraq yang sudah lama diharamkan daripada menganjurkan perlawanan bola sepak antarabangsa akibat perang, mengharapkan penganjuran Piala Teluk kali ini dapat membaiki imejnya tetapi insiden ini membuatkannya terpaksa memohon maaf atas kesilapan organisasi.

    Beribu-ribu peminat tanpa tiket telah berkumpul di luar stadium di bandar utama di selatan Iraq, Basra sejak subuh dengan harapan dapat menyaksikan perlawanan akhir antara Iraq dan Oman, yang sepatutnya bermula pada jam 7 malam.

    “Terdapat satu kematian dan berpuluh-puluh cedera ringan,” kata seorang doktor.

    Seorang pegawai kementerian dalam negeri memberikan jumlah yang sama. “Sebilangan besar peminat, ramai daripada mereka tanpa tiket, telah berkumpul awal pagi untuk cuba masuk,” kata pegawai itu.

    Seorang jurugambar AFP di dalam stadium berkata pintu masuk masih ditutup apabila rempuhan berlaku. Siren berbunyi apabila ambulans tiba untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital.

    Imej yang disiarkan di media sosial menunjukkan lautan manusia di luar stadium.

    Iraq sudah pun terpaksa meminta maaf kepada jirannya, Kuwait selepas pergelutan di bahagian VIP yang menghalang wakil pemimpinnya daripada menghadiri majlis perasmian awal bulan ini. – AFP

    Penyokong Iraq mengambil tempat mereka untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Teluk Arab antara Iraq dan Oman di Stadium Antarabangsa Basra di Iraq, kelmarin – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...