THE HAGUE, 1 OGOS – Pihak berkuasa Belanda mengeluarkan amaran kelmarin kepada pengunjung yang membawa bersama kanak-kanak untuk mengelakkan kawasan hutan di tengah Belanda selepas beberapa insiden ‘mencemaskan’ yang melibatkan seorang kanak-kanak yang telah digigit serigala.
Pertemuan terbaharu berlaku kelmarin apabila ‘seekor haiwan besar’, yang dipercayai serigala, melanggar seorang kanak-kanak berhampiran kampung kecil Austerlitz, kira-kira 16 kilometer di timur Utrecht.
Kanak-kanak dalam insiden itu tidak cedera, tetapi seorang kanak-kanak perempuan dalam lawatan selepas sekolah digigit 10 hari yang lalu di kawasan yang sama.
Ujian DNA mengesahkan serigala sebagai pelakunya.
Dikenali sebagai Lereng Bukit Utrecht, kawasan itu adalah kawasan hutan rimba dan menjadi pilihan pejalan kaki, penunggang basikal dan pelari.

“Wilayah Utrecht menyeru semua pelawat agar berhati-hati ketika melawat kawasan Lereng Bukit Utrecht,” kata satu kenyataan.
“Amaran keras adalah untuk tidak melawat hutan ini dengan anak kecil”.
Pada awal Julai lalu, seorang wanita melaporkan anjing poodle peliharannya dibunuh oleh serigala.
Pegawai “membuat andaian bahawa ia adalah serigala yang sama yang menggigit anak perempuan dan membunuh anjing tersebut,” kata kenyataan itu lagi.
Pakar serigala berkata haiwan itu menunjukkan ‘tingkah laku yang pelik dan mencemaskan’.
Serigala pertama kali muncul semula di Belanda pada tahun 2015 selepas ketiadaan selama 150 tahun, dengan puluhan dilihat sejak itu, tetapi haiwan tersebut kekal
sukar ditemui dan biasanya mengelak manusia.
Pihak berkuasa berkata wilayah itu sedang menyediakan permit untuk menembak haiwan tersebut sebagai hasil daripada insiden itu dan juga memberikan arahan apabila berhadapan dengan serigala. – AFP