Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Insiden SIA: 9 rakyat M’sia cedera

    KUALA LUMPUR, 22 MEI – Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand mengesahkan sembilan rakyat Malaysia termasuk seorang kru cedera dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321.

    Pesawat itu dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila ia terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok pada petang kelmarin.

    Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata bahawa kesemua sembilan rakyat Malaysia dalam penerbangan SIA itu kini sedang menerima rawatan akibat kecederaan yang mereka alami.

    Wisma Putra berkata sejumlah 16 rakyat Malaysia berada di dalam penerbangan itu dengan kedutaan sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital yang berkenaan dan sedang menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terlibat.

    “Pada masa ini, enam rakyat Malaysia dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

    “Menurut kedua-dua hospital, semua mangsa rakyat Malaysia yang terlibat mengalami kecederaan fizikal dan dalaman dan seorang rakyat Malaysia mengalami kecederaan kritikal tetapi dalam keadaan stabil,” katanya.

    Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang cedera berada di bawah pengawasan di wad secara berasingan dan sedang menunggu laporan perubatan.

    Kementerian itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan agar semua mangsa yang cedera cepat sembuh dari insiden yang malang itu.

    Insiden itu menyebabkan seorang maut dan beberapa lagi cedera. Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Kittipong Kittikachorn sebelum ini berkata mangsa maut dalam kejadian itu ialah seorang lelaki Britain berusia 73 tahun. – Bernama

    Gambar menunjukkan bahagian luar Hospital Samitivej Srinakarin, di mana beberapa penumpang yang cedera sedang dirawat sehari selepas penerbangan SIA SQ321 dari London ke Singapura, di Bangkok. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda