Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Insiden stadium, 5 jalani perbicaraan

    SURABAYA, INDONESIA, 16 JAN – Lima lelaki Indonesia yang didakwa cuai sehingga membawa kepada salah satu bencana stadium terburuk dalam sejarah bola sepak dihadapkan ke mahkamah melalui pautan video hari ini ketika perbicaraan mereka bermula.

    Rempuhan pada bulan Oktober di bandar Malang Jawa Timur – yang mengorbankan 135 orang, termasuk lebih 40 kanak-kanak – berlaku selepas polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penonton yang penuh sesak apabila penyokong menceroboh padang pada penghujung perlawanan antara seteru Arema FC dan Persebaya Surabaya.

    Ratusan orang melarikan diri ke jalan keluar yang sempit, mengakibatkan ramai yang terpijak atau mati lemas.

    Tiga pegawai polis tempatan, seorang penganjur perlawanan dan seorang pegawai keselamatan semuanya didakwa kerana cuai atas peranan mereka dalam kejadian itu dan berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun jika didapati bersalah.

    Suspek keenam – bekas pengarah syarikat yang mengendalikan liga perdana Indonesia – masih dalam siasatan polis.

    Hakim-hakim di mahkamah Surabaya semasa perbicaraan pertama insiden stadium Kajuruhan pada 16 Januari. – AFP

    Hari ini, pihak berkuasa mengerahkan ratusan anggota keselamatan mengawal sekitar mahkamah dan perbicaraan itu diadakan secara maya atas sebab keselamatan.

    Di luar mahkamah, Rini Hanifah memegang gambar anaknya Agus Riansyah, salah seorang mangsa yang pergi menyaksikan perlawanan bola sepak dan tidak pernah pulang. Dia menggesa hukuman mati ke atas mereka yang bertanggungjawab.

    “Nyawa harus dibayar dengan nyawa. Itu bukan sekadar angka, ia nyawa manusia. Kami perlukan keadilan untuk anak saya,” ujarnya.

    Seorang lagi ibu bapa, Udin, yang anak perempuannya dan teman lelakinya maut dalam tragedi itu juga berkata dia mahu mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman berat.

    “Hukuman mati, itu sahaja,” kata lelaki itu, yang enggan memberikan nama keluarganya.

    Pihak berkuasa memberitahu penyokong Arema FC supaya tidak pergi ke Surabaya bagi mendengar perbicaraan itu, bimbang berlaku pertempuran dengan polis atau penyokong lawan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...