Insiden tembak di sempadan M’sia-Thailand, dua lagi ditahan

JEMPOL, 25 NOV – Dua lagi rakyat Thailand ditahan pasukan keselamatan pada 7 pagi ini di tembok sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis menjadikan keseluruhan suspek rakyat negara jiran itu yang ditahan berkaitan kes tembak anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) lapan orang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata daripada kesemua lapan suspek berkenaan, empat daripadanya ditahan di Malaysia manakala empat lagi di negara jiran.

“Dua warga Thailand ini kami yakin tidak sempat melarikan diri, oleh kerana tidak ada ruang dan peluang untuk mereka melepasi tembok sempadan. Jadi apabila kami buat sweeping di ladang dan belukar tersebut, terserempak dengan dua orang ini. “Kami telah bawa mereka untuk soal siasat selanjutnya. Kami juga sedang berunding dan akan mengutuskan permohonan secara rasmi kepada pihak Polis Diraja Thailand supaya keempat-empat (penyeludup) yang ditahan di Thailand itu dapat diserahkan kepada kami untuk diadili,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara pengebumian mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban awal pagi semalam dalam kejadian berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, di Padang Besar, Perlis. – Bernama