BEIJING, 19 MEI – Seorang individu disahkan maut dalam kejadian tembakan di sebuah restoran terbuka di bandar Wuhan, dalam satu kes yang jarang berlaku membabitkan keganasan bersenjata di China.
Menurut kenyataan polis hari ini, dua orang lagi cedera dalam insiden yang berlaku pada kelmarin malam, yang diklasifikasikan sebagai kes ‘kecederaan disengajakan’ berpunca daripada pertikaian.
Kiriman di media sosial menggambarkan kejadian tersebut sebagai satu tembakan dan memaparkan imej seorang individu tersandar di kerusi dan seorang lagi terbaring di atas tanah. Namun, kenyataan rasmi daripada cawangan polis Daerah Qiaokou di Wuhan tidak menyatakan jenis senjata yang digunakan.
China mempunyai undang-undang kawalan senjata api yang sangat ketat, dan laporan mengenai keganasan bersenjata amat jarang didengar. Walaupun sesetengah kes mungkin disembunyikan melalui penapisan berita negatif oleh pihak berkuasa, insiden serangan menggunakan pisau dilaporkan lebih kerap berlaku, begitu juga dengan kes melanggar orang ramai menggunakan kenderaan.
Media milik kerajaan China pula sering menyiarkan laporan mengenai insiden keganasan senjata api di Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada kempen untuk meyakinkan rakyat bahawa sistem pemerintahan satu parti yang diketuai oleh komunis adalah lebih baik berbanding demokrasi AS.
Serangan itu berlaku di kawasan yang menempatkan deretan restoran dengan tempat duduk terbuka yang menyajikan makanan panggang berasaskan daging cucuk.
Sebuah video yang memaparkan keadaan selepas kejadian namun telah dipadam dari media sosial menunjukkan orang ramai berkumpul di lokasi kejadian yang terang benderang pada waktu malam, sebelum petugas perubatan kecemasan tiba dan membawa pengusung untuk mengangkut mangsa. – AFP
