Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Insiden ular dalam makanan sekolah disiasat

    NEW DELHI, 1 MEI – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia India hari ini memaklumkan sedang menyiasat laporan lebih 100 murid jatuh sakit selepas menikmati makanan tengah hari sekolah yang sebelum itu didapati mengandungi seekor ular mati.

    “Dilaporkan, tukang masak telah menghidangkan makanan kepada murid-murid selepas membuang seekor ular mati daripada hidangan tersebut,” kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRC) dalam satu kenyataan.

    Hidangan itu disediakan minggu lalu di sebuah sekolah yang diuruskan kerajaan di bandar Mokama, Bihar – salah sebuah negeri termiskin di India, menurut kenyataan itu.

    Suruhanjaya berkenaan telah menggesa pihak berkuasa tempatan dan polis untuk menyiasat laporan media yang menyebut lebih 100 murid jatuh sakit selepas menikmati makanan tengah hari berkenaan.

    Kejadian tersebut mencetuskan demonstrasi marah daripada ahli keluarga murid-murid terlibat.

    “Berita mengenai murid-murid jatuh sakit akibat memakan makanan tengah hari itu telah menyebabkan para penduduk kampung yang membantah bertindak menyekat jalan raya,” kata NHRC.

    Gambar Freepik

    Makanan percuma disediakan kepada berjuta-juta murid di sekolah kerajaan seluruh India dan dianggap sebagai salah satu cara untuk menggalakkan mereka meneruskan persekolahan.

    Suruhanjaya tersebut berkata pihaknya telah meminta laporan terperinci daripada pegawai kanan negeri serta pihak polis, termasuk status kesihatan murid-murid terlibat.

    Menurut kenyataan itu lagi, jika laporan berkenaan disahkan, ia membabitkan ‘isu serius pelanggaran hak asasi murid-murid’.

    Pada tahun 2013, seramai 23 murid sekolah maut selepas menikmati makanan yang tercemar dengan racun perosak di daerah Saran, Bihar. Kejadian itu mendorong kerajaan meningkatkan tahap keselamatan makanan di sekolah-sekolah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda