Sunday, June 16, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Insiden Ulu Tiram: JKM adakan kaunseling

    TAPAH, 22 MEI – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan sesi kaunseling kepada keluarga dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lepas, selagi mereka memerlukannya.

    Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata langkah itu amat penting bagi memulihkan kembali emosi setiap anggota keluarga yang masih terkesan dengan pemergian mangsa.

    “Sesi kaunseling ini perlu sehingga mereka cukup bersedia untuk kembali menjalani kehidupan normal,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar di Kampung Poh Tambahan 1, Bidor, hari ini.

    Beliau turut menyampaikan bantuan Skim Pemberian Ehsan Yayasan Kebajikan Negara berjumlah RM3,000 kepada keluarga Allahyarham Ahmad Azza Fahmi.

    Noraini berkata pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka tabah dalam menghadapi dugaan yang berlaku.

    Bapa Allahyarham Ahmad Azza Fahmi, Azhar Khaiden, 54, pula berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan semua pihak terutama dalam memudahkan pengurusan pengebumian jenazah anaknya.

    Azhar berkata keluarganya turut berhasrat menamakan surau baharu yang akan dibina di kampungnya dalam waktu terdekat, atas nama anaknya.

    Dalam kejadian pada jam 2:45 pagi itu, Ahmad Azza Fahmi dan rakan setugas Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.

    Suspek lelaki yang berusia 21 tahun ditembak mati dalam kejadian berkenaan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India bawa pulang jasad 45 mangsa kebakaran di Kuwait

    KOCHI, 14 JUN - Ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kebakaran di sebuah bangunan di Kuwait kelihatan berduka di terminal lapangan terbang India hari...