Oleh Sim Y.H. –
Tidak dapat dinafikan peranan penting marin dalam kehidupan kita, oleh itu, usaha terus dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan marin dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda dan pelajar.
Dalam hubungan itu, Kelab Menyelam Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dan Poni Divers telah melancarkan Program Bola Terumbu JIS iaitu sebuah inisiatif pendidikan dan pemuliharaan yang melibatkan aktiviti pembiakan karang buatan.
Menerusi program berkenaan, sebanyak 10 terumbu buatan telah dihasilkan pada 25 November semasa kursus Pembuatan Bola Terumbu di mana sembilan daripadanya telah dihantar ke Pelong Rock semasa Kursus Penemuan Bola Terumbu yang pertama pada 9 Disember lalu dengan 30 terumbu ditanam pada bola terumbu berkenaan.
PROGRAM BOLA TERUMBU BRUNEI
Program Bola Terumbu Brunei merupakan sebuah inisiatif pemuliharaan marin oleh Projek Looking After Underwater Treasures of Brunei (LAUT Brunei) di bawah Poni Foundation dengan matlamat untuk mencari rekaan bola terumbu buatan yang mampan dan berkos rendah serta kaedah penghantaran bagi pemulihan habitat marin dan terumbu karang jangka panjang.
Bola terumbu berkenaan merupakan bola konkrit yang direka khas dan dibuat tanpa sebarang rebar besi dengan campuran khas untuk menjadikannya mesra terumbu serta boleh bertahan sehingga 500 tahun di laut.









Ia juga direka untuk menjadi tempat tinggal bagi ikan dalam membantu memulihkan stok perikanan dan membina semula terumbu karang serta digunakan sebagai alat anti-tunda dan bagi perlindungan persisiran dan pemulihan bakau.
PROGRAM BOLA TERUMBU JIS
Program itu melibatkan pelajar-pelajar dari JIS mempelajari bagaimana untuk menghasilkan, menanam terumbu karang dan meletakkan bola terumbu dari awal hingga
akhir.
Program bermula dengan kursus Penghasilan Bola Terumbu pada 25 November lalu di JIS Outdoor Discovery Centre di mana para pelajar berpeluang menghasilkan bola karang secara amali dengan pelajar termuda yang menyertai kursus berkenaan berusia lapan tahun.
Semasa program tersebut, sebanyak 10 bola terumbu telah dihasilkan buat kali pertama di sebuah institusi pendidikan di Brunei dengan para pelajar diberikan peluang untuk memberikan nama pada bola terumbu mereka, mempelajari mengenai sains pertumbuhan terumbu karang dan bagaimana menghasilkan campuran konkrit yang tepat bagi konkrit pH neutral untuk terumbu tumbuh secara semula jadi pada bola terumbu berkenaan.
PENANAMAN BOLA KARANG
Setelah bola terumbu berkenaan telah mengeras, sembilan daripadanya telah dihantar untuk diletakkan di Pelong Rock semasa kursus tersebut yang melibatkan seramai 10 orang peserta dari JIS termasuk lapan orang penyelam bersama-sama Poni Divers pada 9 Disember lalu.
Kelab Menyelam JIS dan Program Bola Terumbu JIS berhasrat untuk mempunyai terumbu karang JIS sendiri dengan sokongan pelajar dan penyelamnya setiap tahun, mengembangkan terumbu dan menanam terumbu karang di atasnya, dalam usaha untuk memainkan perananan melindungi khazanah laut Brunei dan mendidik generasi masa depan bagi menjadi pelindung laut.
Para pelajar juga akan berpeluang untuk melawat terumbu karang berkenaan dan melihat sendiri perkembangan pertumbuhan terumbu pada bola terumbu mereka serta mempunyai rasa kepunyaan bagi terumbu karang yang telah diusahakan oleh mereka.
Kelab Menyelam JIS telah aktif menyelam sejak 2013 dan mempunyai lebih daripada 200 orang penyelam muda bertauliah sejak penubuhannya.
TUMPUAN KEPADA PENGLIBATAN BELIA MUDA
Dengan tumpuan yang kuat kepada penglibatan belia muda dalam program-program seperti Inisiatif LAUT Brunei dan Program Bola Terumbu Brunei, ia diharap akan memberikan inspirasi kepada warga tempatan untuk melindungi lautan negara dan melihat sendiri keindahan terumbu karang serta kehidupan marin Brunei selain terlibat secara aktif dalam melindungi laut negara melalui tindakan mereka sendiri.
Salah seorang pelajar yang menyertai program berkenaan, Ayu yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, menyatakan bahawa kegiatan itu amat menyeronokkan dan beliau tidak menyangka bahawa perairan Brunei mempunyai keunikan serta tarikannya yang tersendiri.
Poni Divers telah meletakkan lebih 40 biji bola terumbu pada 2023 dan mereka akan meletakkan sebanyak 120 bola lagi menerusi penaja korporat bola terumbu, SC Tubular Solutions (B) Sdn Bhd (SCTSB) dan menanam lebih 600 terumbu dalam tempoh enam bulan dengan bantuan seramai 120 orang pelajar tempatan.
Matlamat program berkenaan adalah untuk meletakkan lebih 1,000 biji bola di dalam laut menjelang Julai 2025 dengan lebih banyak sokongan komuniti dan penaja tempatan.

