Inspirasi pelajar terus kejar cita-cita

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan BSU & BruROSA

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Kesatuan Pelajar Brunei (BSU) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Agama Brunei (BruROSA) mengadakan acara jelajah jangkauan yang membawa tema Paving Your Path: Journeys Through Perseverance di mana program itu telah berjaya dikendalikan di tiga buah institusi pendidikan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BSUnion di sini, tiga buah institusi yang dilawati semasa program itu ialah Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA) pada 31 Ogos, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) pada 7 September dan Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) pada 8 September.

Acara itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh BSU dan BruROSA dengan matlamat untuk memotivasikan pelajar untuk memikirkan dan mengejar laluan kerjaya masa hadapan mereka.

Harapan itu dilaksanakan dengan menjemput pelbagai individu yang mempunyai latar belakang akademik dan laluan kerjaya yang berbeza sebagai penceramah undangan. Program itu juga menyediakan platform di mana para pelajar dapat menyuarakan mengenai kebimbangan masa hadapan mereka atau kesukaran yang dihadapi pada masa ini.

Program jelajah itu bermula pada 31 Ogos dan disertai seramai 123 pelajar dari SMSA dengan program mengetengahkan aktiviti pengenalan dan ucapan inspirasi daripada empat orang penceramah iaitu dari BSU, Universiti Brunei Darussalam (UBD), InTurn Co. dan Gentleman Stitch.

Acara jelajah seterusnya adalah pada 7 September di Maktab Sains yang menyaksikan penyertaan seramai 154 orang pelajar. Acara diisikan dengan sesi forum bertajuk Journeys Through Perseverance yang mengetengahkan enam orang panel daripada BSU, Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi UBD (PMUBD), WeCare serta Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) dan Belia Dai’e.

Pada 8 September, program jelajah itu mencapai kemuncaknya dengan acara yang disertai seramai 91 pelajar dari PTES di mana acara menyaksikan ceramah inspirasi disampaikan oleh Vanessa Ang daripada BSU dan Awang Afiq Izzuddin daripada PMUBD.

Para pelajar mengambil bahagian dalam kegiatan yang dikendalikan semasa acara jelajah jangkauan tahunan anjuran BSU dan BruROSA.
Para pelajar mengambil bahagian dalam permainan yang dikendalikan semasa acara jelajah berkenaan.