Akaun Instagram penyanyi Akim Ahmad yang mempunyai 1.5 juta pengikut digodam individu tidak bertanggungjawab kelmarin.
Perkara itu didedahkan pihak pengurusan Akim yang dimuat naik di Instagram rasmi kumpulan Akim & The Majistret.
Susulan itu, wakil penyanyi berkenaan meminta orang ramai tidak membalas atau menekan sebarang pautan yang dikirim melalui akuan tersebut.
Dipercayai akaun tersebut digodam dalam cubaan memperdaya pengikutnya.
“Kepada sesiapa menerima DM daripada akaun peribadi Akim, mohon jangan balas atau klik sebarang pautan yang dihantar.
“Akaun tersebut telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab dan kami sedang berusaha untuk mendapatkan semula akaun tersebut. Tolong sebarkan dan berhati-hati,” tulis wakil berkenaan.
Menerusi tinjauan mStar, akaun itu mula berkongsi foto secara rawak tanpa sebarang kapsyen sejak Isnin.
Rata-rata peminat berasa pelik dan membuat andaian bahawa akaun milik penyanyi lagu Mewangi telah digodam.
Malah ada yang turut mengakui menerima pautan aneh daripada akaun tersebut.
“IG (Instagram) Akim kena ‘hack’ ke ni? Pulangkan semula akaun Akim; Kenapa banyak foto random macam ni, kena hack ke? Aku dapat link aneh-aneh ni, bodoh punya penggodam,” antara tulis warganet. – Agensi
