Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Institusi Fatwa mustahak dipelihara

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Institusi Fatwa dalam sesebuah negara, khasnya di rantau ini adalah sangat mustahak untuk dipelihara, kerana ia bukan sahaja menjadi rujukan tertinggi dalam semua permasalahan agama, malahan juga menjadi tunjang kepada dasar-dasar negara. Tidak syak lagi keputusan yang dikeluarkan oleh Institusi Fatwa akan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

    Institusi Fatwa juga turut memainkan peranan penting dalam melahirkan ulama. Ulama adalah pewaris nabi-nabi yang mampu untuk membimbing ummah dengan ilmu mereka.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan sabda di Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i bersempena 60 Tahun Institusi Fatwa Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

    Terdahulu dalam sabda, Duli Yang Teramat Mulia antaranya turut menzahirkan rasa syukur atas pencapaian Institusi Fatwa di negara ini yang dilihat berjaya memainkan peranannya dalam mengeluarkan fatwa dan irsyad kepada masyarakat. Fatwa dan irsyad adalah pasak memelihara keharmonian hidup beragama sesuai dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jama‘ah Mazhab Syafi‘i.

    “Penubuhan Institusi Fatwa di Brunei Darussalam bermula pada tahun 1962, diilhamkan oleh Paduka Ninda, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien yang sangat menitikberatkan semua urusan yang berkait dengan agama Islam.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda di persidangan tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Pada tahun tersebut, satu bahagian yang bertanggungjawab dalam hal ehwal fatwa telah ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Ugama sebagai langkah awal memperkukuh kedudukan fatwa dalam sistem pentadbiran agama negara,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    Dalam menyentuh tema persidangan iaitu Mazhab Syafi‘i dalam Era Digital: Relevan dan Cabaran, Duli Yang Teramat Mulia bersabda ia sangat bertepatan dengan realiti semasa, khususnya bagi membincangkan keperluan mazhab dalam menghadapi arus pemodenan teknologi.

    “Pertemuan ulama dan ilmuwan Islam serantau dalam persidangan ini sudah setentunya akan membuka ruang berharga untuk meneliti isu-isu tersebut secara ilmiah dan mendalam. Antara isu yang semakin mendesak pada era digital ini ialah fenomena fatwa yang mudah diakses secara tidak terbimbing. Masyarakat mudah mendapatkan pandangan ugama melalui media sosial tanpa menilai kesahihan dan kesesuaiannya dalam konteks tempatan,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.

    Dalam pada masa yang sama, sabda Duli Yang Teramat Mulia, sesiapa pun boleh mengaku sebagai ‘mufti’ atau ‘ustaz’ dalam dunia digital dan alam maya. Lebih membimbangkan lagi, segelintir masyarakat pula, mula mengetepikan autoriti rasmi dalam hukum-hakam dengan memilih ‘ulama digital’ untuk memberikan jawapan segera terhadap persoalan-persoalan mereka.

    “Isu-isu sebegini, jika tidak ditangani dengan bijaksana, ia berpotensi untuk menimbulkan kekeliruan yang besar dalam kalangan umat Islam, malahan boleh menggugat kedudukan dan kelangsungan Mazhab Syafi‘i di rantau ini. Oleh itu, Saya berharap dalam perhimpunan para tokoh dan sarjana di persidangan ini, beberapa strategi berkesan akan dapat dikenal pasti bagi menanganinya,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    Dalam pada itu, Duli Yang Teramat Mulia turut bersabda dengan menekankan bahawa seiring dengan perkembangan era digital yang pesat dan mencabar, Institusi Fatwa serta Fuqaha dalam Mazhab Syafi’i perlulah mengukuhkan kehadiran mereka dalam ruang digital. Pembangunan platform fatwa digital yang berwibawa, yang mudah diakses dan mesra pengguna adalah amatlah penting.

    “Usaha ini bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan Mazhab Syafi‘i, bahkan menjadi benteng kepada masyarakat daripada terpengaruh dengan pandangan yang cuma berasaskan populariti tetapi tidak mempunyai sandaran sahih dalam agama,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda