Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Institusi pendidikan penting dalam memperkasa belia

    Oleh Sim Y.H. –

    TEMBURONG, 18 OGOS – Golongan belia merupakan tulang belakang negara dan berpotensi besar dalam pembangunan negara. Oleh itu, institusi pendidikan memainkan peranan penting untuk memperkasakan golongan belia dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni serta sikap yang positif.

    “Ini merupakan salah satu objektif Program Jati Diri iaitu untuk membentuk modal insan yang memiliki jati diri dan perwatakan positif, proaktif dan berkeyakinan serta menghasilkan tenaga kerja yang employable dan marketable.”

    Penekanan itu dibuat oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh ketika berucap pada Majlis Pembukaan Program Jati Diri Kohort 7 yang berlangsung di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Batu Apoi, Temburong, kelmarin.

    Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyatakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda sempena Hari Keputeraan ke-78 menekankan pentingnya belia sebagai tonggak harapan negara dan penggerak perubahan, menerusi sistem pendidikan dan latihan inovatif yang sejajar dengan keperluan industri dan ekonomi.

    Dr Chin Wei Keh seterusnya menyatakan harapan komponen dan aktiviti dalam Program Jati Diri dapat menghasilkan serta meningkatkan semangat patriotik, memupuk rasa perpaduan dan kerjasama berpasukan, meningkatkan keimanan dan ketaqwaan serta perwatakan positif, proaktif dan berkeyakinan dalam kalangan para pelajar.

    Semua itu, tambahnya, akan mewujudkan golongan belia berkualiti yang mampu menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran negara selaras dengan Wawasan 2035.

    Pada masa yang sama, beliau juga menyeru para pelajar untuk mengamalkan nilai-nilai positif yang dipelajari dalam program itu dalam kehidupan seharian supaya mereka menjadi individu yang berdaya tahan, berdaya saing serta mampan dalam menghadapi cabaran masa depan.

    Beliau juga berharap para pelajar akan memanfaatkan usaha kerajaan dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti.

    Dr Chin Wei Keh semasa menyampaikan ucapan pada pembukaan program tersebut, baru-baru ini.- GAMBAR SERAHAN IBTE
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda