Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Dalam usaha menggalakkan lagi para mahasiswanya memperbanyakkan membaca Al-Quran pada bulan Ramadan dan menyambut Nuzul Al-Quran, Institut KEMUDA telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, kelmarin.
Majlis turut diselajurkan dengan acara bersungkai dan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim dari Kampung Jerudong.
Hadir bagi menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan pada majlis tersebut ialah Pengerusi Eksekutif CIC Environmental Services dan merangkap Pengarah Institut KEMUDA, Awang Shaiful Arief bin Dato Paduka Haji Abdul Razak.
Turut hadir ialah Pengerusi Institut KEMUDA, Dato Paduka Haji Abdul Razak bin Haji Muhammad; Penghulu Mukim Jerudong, Dr Haji Abdullah Hanif bin OKM Dinda Haji Saman dan ketua Kampung Jerudong A dan B serta para ahli Majlis Perundingan Kampung, ibu bapa mahasiswa dan para kakitangan dan tenaga pengajar Institut KEMUDA.
Majlis tahunan berkenaan menyaksikan penyerahan derma kepada seramai 38 orang anak yatim yang diharap dapat membantu menceriakan mereka menjelang Hari Raya tidak lama lagi.
Di samping itu, majlis pada turut diisikan dengan bacaan tahlil beramai-ramai khusus buat Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
