Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Institut KEMUDA telah mengadakan hari suai kenal bagi mengalu-alukan pelajar baharu pengambilan Oktober 2022 di kampusnya di Beribi, baru-baru ini.
Semasa orientasi sehari itu, pelajar baharu diperkenalkan kepada prosedur, kemudahan institut dan memberi peluang untuk bertemu dengan pentadbir kampus, kakitangan dan pelajar senior KEMUDA.
Pengetua Institut KEMUDA, Awang Mohammed Khairy Yusrin dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan mengenai persediaan pelajar semasa dalam pengajian, pengenalan dan peraturan institut untuk memastikan pelajar baharu dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu mereka.
Pengenalan mengenai institusi berkenaan telah disampaikan oleh Yang Dipertua Institut KEMUDA, Sari Nurtas’a Sahira.
Program orientasi itu diisi dengan pelbagai aktiviti dan permainan bagi membolehkan pelajar mengenali satu dengan yang lain selain berpeluang mendengarkan taklimat mengenai kursus dan mengadakan lawatan sekitar kampus.
