Institut Kemuda terima kunjungan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Institut Kemuda hari ini telah mengalu-alukan kunjungan Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar ke institut berkenaan bagi kunjungan lawatan.

Semasa kunjungan TYT Ajaneesh Kumar tersebut, majlis penyampaian sumbangan berupa beberapa buah buku yang bervariasi tema daripada buku yang berkaitan kebudayaan dan politik sehinggalah yang berkaitan dengan sejarah dan ekonomi India telahpun sempurna diserahkan sendiri oleh TYT Ajaneesh Kumar kepada ahli Lembaga Pengarah Institut Kemuda, Awang Shaiful Arief bin Dato Paduka Haji Abdul Razak.

Dengan sumbangan buku berkenaan, TYT Ajaneesh Kumar dalam ucapannya berharap ianya dapat meningkatkan pengetahuan para pelajar di institut berkenaan terhadap India dan seterusnya akan sama-sama menyumbang bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Negara Brunei Darussalam dan India pada masa-masa yang akan datang.

TYT Ajaneesh Kumar juga seterusnya berharap agar kolaborasi antara Suruhanjaya Tinggi India dan Institut Kemuda akan dapat lebih giat dilaksanakan pada masa yang akan datang dalam pelbagai bidang termasuklah dalam bidang Pendidikan Vokasional Teknologi Maklumat dan sebagainya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Institut Kemuda, Loo Mei Tim dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TYT Ajaneesh Kumar atas sumbangan buku berkenaan. Beliau turut menjelaskan bahawa buku-buku yang disumbangkan tersebut akan menjadi sebagai bahan rujukan di institut berkenaan yang boleh digunakan oleh para pelajar di ruang perpustakaan pada bila-bila masa.

Pada majlis berkenaan, Pengerusi Institut Kemuda, Dato Paduka Haji Abdul Razak bin Haji Muhammad turut berkesudian menyampaikan hadiah cenderamata berupa beberapa buah buku kepada TYT Ajaneesh Kumar.

Majlis penyampaian sumbangan buku disempurnakan oleh TYT Ajaneesh Kumar.
Antara buku yang disumbangkan kepada Institut Kemuda.