Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Intai peluang kerjasama dua hala

    Oleh Sim Y. H. & Pg Fairol RMF

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia, Puan Yang Terutama Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail, telah mengadakan lawatan ke Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Berakas, hari ini.

    Ketibaan Puan Yang Terutama serta rombongan dialu-alukan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang juga selaku pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan.

    Turut mengalu-alukan ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Pengarah NDMC, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.

    Antara atur cara yang telah disusun semasa lawatan berkenaan ialah sesi taklimat yang disampaikan oleh Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin yang antara lain menyentuh mengenai latar belakang NDMC dan mekanisme pengurusan bencana di Negara Brunei Darussalam.

    Sementara itu, beberapa perkara utama yang telah dibincangkan selepas sesi taklimat berkenaan adalah meliputi peluang-peluang kerjasama antara Brunei dan Malaysia dalam menangani bencana seperti pembangunan kapasiti dalam operasi mencari dan menyelamat, latihan-latihan bersama dalam menghadapi bencana seperti tsunami dan banjir serta potensi mewujudkan prosedur operasi standard atau standard operating procedure bagi menangani kejadian bencana merentas sempadan melibatkan Sabah dan Sarawak.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa mengalu-alukan kunjungan daripada PYT Datuk Seri Dr Wan Azizah, kelmarin.
    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa mengalu-alukan kunjungan daripada PYT Datuk Seri Dr Wan Azizah.
    PYT Datuk Seri Dr Wan Azizah semasa mengadakan lawatan ke Pusat Bahagia dengan diiringi oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan. – Gambar Rahwani Zahari
    PYT Datuk Seri Dr Wan Azizah dan rombongan semasa mengadakan lawatan ke NDMC, kelmarin.

    Selepas sesi taklimat itu, Puan Yang Terutama serta rombongan turut mengadakan lawatan ke Pusat Perintah Bencana di mana mereka mendengarkan taklimat mengenai fungsi dan tanggungjawab Pusat Perintah Bencana yang disampaikan oleh pegawai pengurusan bencana kanan.

    Lawatan itu diharap akan dapat mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia dalam bidang pengurusan bencana.

    Selain NDMC, Puan Yang Terutama turut mengadakan lawatan ke Pusat Bahagia di mana kedatangan beliau dialu-alukan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Semasa berada di sana, Puan Yang Terutama mendengarkan taklimat mengenai fungsi dan tanggungjawab Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta program-program yang dijalankan di Pusat Bahagia. Beliau juga telah meninjau kelas-kelas dan bengkel latihan seterusnya beramah mesra dengan pelatih-pelatih di pusat berkenaan.

    Sementara itu, semalam, Puan Yang Terutama telah mengadakan perjumpaan bersama Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan di Empire Hotel and Country Club, Jerudong.

    Mengiringi Puan Yang Terutama semasa majlis perjumpaan dan lawatan berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Malaysia, Datuk Marzuki bin Haji Yahya dan Timbalan Setiausaha Agung Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Malaysia, Raja Dato Nushirwan bin Zainal Abidin.

    Juga hadir ialah Setiausaha Tetap di KKBS, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan pegawai-pegawai kanan di KKBS.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda