Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Intan Berduri FC rai Hari Keluarga

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Intan Berduri FC telah menganjurkan Hari Keluarga Besar Intan Berduri bagi tahun 2025 di Sungai Asam Kompleks, Padang A, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat di acara itu, Penghulu Mukim Zon 2 Kampung Ayer, Awang Raimi bin Awang Rashid, dan turut hadir, Yang Di-Pertua Intan Berduri 2025, Haji kamis bin Haji Aji @ Haji Bolaji.

    Acara ini diadakan sebagai wadah untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim antara ahli pasukan, keluarga serta penyokong Intan Berduri FC yang sentiasa bersama dalam suka dan duka sepanjang perjalanan pasukan ini.

    Ahli Kelab bola sepak Intan Berduri bergambar ramai.

    Antara pengisian sepanjang program itu termasuk Perlawanan Persahabatan yang di hasrat dapat mengeratkan semangat kesukanan dan kekeluargaan sesama ahli pasukan.

    Acara diteruskan dengan penyerahan rasmi Baju Baru Intan Berduri 2025 yang menunjukkan simbol semangat baharu dan kesatuan pasukan bagi musim mendatang, dan bacaan Doa Selamat sebagai tanda kesyukuran serta doa agar pasukan terus diberi keberkatan dan kejayaan dalam setiap usaha.

    Kelab Intan Berduri, yang ditubuhkan pada tahun 1983, merupakan sebuah kelab komuniti yang kukuh dan berperanan penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim melalui aktiviti sukan dan kekeluargaan.

    Sepanjang lebih empat dekad penubuhannya, kelab ini terus berdiri teguh sebagai salah satu pasukan komuniti yang aktif di Brunei Darussalam.

    Gambar suasana pada Hari Keluarga Besar Intan Berduri, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN INTAN BERDURI FC

    Intan Berduri kini diterajui oleh generasi kedua, yang membawa kelab ini ke arah pembangunan yang lebih tersusun, progresif dan bervisi.

    Di bawah kepimpinan Yang Di-Pertua Haji Kamis serta sokongan kepimpinan Presiden Kelab, Haji Sufri bin Haji Aji @ Haji Bolaji, kelab ini berusaha memastikan setiap program, aktiviti dan hala tuju kelab dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan berimpak.

    Operasi dan pengurusan pasukan pula diketuai oleh Pengurus Pasukan, Muhammad Noor Haziq Saufiq bin Awang Haji Daud, yang bertanggungjawab menyelaras latihan, kebajikan pemain, serta penglibatan kelab dalam kejohanan-kejohanan bola sepak.

    Selain menjadi kelab bola sepak, Intan Berduri juga merupakan purih-purih Kampung Setia A, yang mengekalkan identiti, warisan dan hubungan kekeluargaan masyarakat setempat sebagai sebahagian daripada nilai teras kelab.

    Dengan sokongan padu daripada kepimpinan, pemain, jawatankuasa serta penyokong, Intan Berduri terus komited untuk memupuk perpaduan, meningkatkan kecemerlangan sukan dan meneruskan legasi yang telah dibina sejak tahun 1983.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda