Pelakon Intan Ladyana selamat melahirkan anak pertama lewat kelmarin.
Berita tersebut dikongsi suaminya yang juga pelakon dan penyanyi, Harris Alif menerusi satu hantaran Instagram.
“Alhamdulillah, Syukur Ya Allah. 11:40 malam, 31/1/2022,” tulis Harris secara ringkas.
Terbaru Harris memuat naik gambarnya mendukung anak pertama mereka.
“Puteri sulung daddy dan mummy. Terima kasih semua atas doa yang baik,” ucapnya.
Khabar gembira tersebut turut disahkan ibu Harris iaitu Khalizah Abdul Khalid ketika dihubungi oleh mStar.
“Syukur, terima kasih yang ucapkan tahniah. Saya tidak boleh beritahu banyak kerana tidak bersama mereka.
“Harris masih berada di hospital,” ujar ibunya kepada mStar.
Pada petang kelmarin, Harris berkongsi foto bersama Intan ketika berada di hospital selain memohon doa untuk dipermudahkan urusan bersalin.
Harris, 23, dan Intan, 40, berkahwin pada 5 Februari 2020 di Kuala Lumpur.
Pasangan ini sepakat merahsiakan soal kehamilan namun perubahan pada Intan mula dikesan peminat sejak hujung tahun lalu.
Intan juga pernah dikejarkan ke hospital setelah disahkan positif COVID-19 ketika hamil pada Disember lalu. – Agensi
