Inteam hibur peminat Perancis, Kanada

Berkurung di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepanjang Ramadan lalu, kumpulan nasyid popular, Inteam mengambil peluang menghiburkan peminat di luar negara.

Salah seorang anggotanya, Muhammad Hazamin Harun berkata, persembahan itu adalah bagi memenuhi undangan komuniti Islam di Perancis dan Kanada.

“Inteam menerima undangan menjayakan persembahan secara langsung di alam maya. Persembahan pertama Ramadan lalu membabitkan audiens di Perancis diikuti Kanada pada malam raya.

“Persembahan itu adalah sempena festival Islamik anjuran komuniti Islam di negara terbabit. Persembahan untuk komuniti Islam di Perancis kami lakukan secara rakaman berikutan zon masa.

“Ketika mereka ‘live’, waktu di Malaysia adalah jam 4 pagi. Jadi, kami terpaksa buat secara rakaman.

Inteam teruja berpeluang menghiburkan peminat di Perancis dan Kanada dalam persembahan atas talian, baru-baru ini. – Agensi

“Manakala persembahan di Kanada, mereka anjurkan acara pada pagi 1 Syawal. Ketika itu, Malaysia sudah malam. Jadi sesuailah kami menyanyi secara langsung,” katanya kepada BH Online.

Walaupun menyanyi atas talian, Hazamin berkata, Inteam cuba menjadikan persembahan mereka bertenaga sama seperti beraksi di hadapan penonton secara realiti.

“Persembahan kami tidak lama iaitu kira-kira 15 minit. Hanya kami dan kumpulan Raihan dari Malaysia yang diundang menjayakan persembahan itu.

“Selain memastikan tidak berlaku masalah teknikal dan mengekalkan kualiti audio dan visual, kami menggunakan kaedah interaktif iaitu komunikasi dua hala dengan penonton melalui aplikasi Zoom.

“Penonton bukan sahaja terhibur dengan persembahan kami, malah berpuas hati dapat berkomunikasi,” katanya.

Memandangkan persembahan nyanyian di tempat terbuka masih belum dibenarkan, Hazamin berharap ada pihak yang boleh mengambil inisiatif menganjurkan acara seperti itu demi membantu artis nasyid yang terjejas berikutan COVID-19.

“Mungkin selepas ini akan ada pihak yang boleh mengundang kumpulan nasyid untuk menghiburkan tetamu melalui kaedah ini.

“Dengan kemajuan teknologi dan era digital yang semakin canggih, saya fikir tiada masalah untuk kita melakukannya. Pada saya, artis sudah bersedia mengamalkan normal baharu seperti ini,” katanya. – Agensi