Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Integrasi ilmu Islam serlah pengetahuan dan kemahiran

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Proses melahirkan sumber tenaga manusia yang berilmu, beriman, beramal, berakhlak, berketerampilan dan mempunyai keahlian yang dinamik (multi-skill) adalah sejajar dengan matlamat yang hendak dicapai dalam Wawasan Brunei 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    Menurut Dekan dan Penolong Kanan Profesor di Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani mengongsikan bahawa integrasi ilmu dan nilai Islam yang dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran abad ke-21 adalah penting dalam memastikan kelangsungan agenda pendidikan kebangsaan.

    Ke arah mencapai cita-cita yang besar dan murni ini, integrasi ilmu dan nilai Islam bersumber daripada wahyu dan ilmu umum sangat wajar diharmonikan dalam sistem pendidikan, baik di peringkat rendah, menengah, teknikal, vokasional, dan bahkan juga di peringkat pengajian tinggi.

    Perkara tersebut merupakan antara yang terkandung dalam perkongsiannya mengenai Integrasi Ilmu Islam Dalam Kerangka Kerja Bersepadu: Sorotan Pengalaman Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

    Di FEKIm, UNISSA, penyepaduan ilmu merupakan perkara penting yang diberi perhatian dalam semua aspek. Satu kerangka kerja bersepadu telah direka bentuk ke arah mencapai misi, visi dan objektif fakulti dalam menjana dan menyebar ilmu yang bersendikan nilai-nilai Islam.

    Gambar fail menunjukkan sebahagian graduan UNISSA yang menerima ijazah semasa Majlis Hafi Al-Takharruj Unissa ke-12 pada Ogos 2022. Di FEKIm, UNISSA, penyepaduan ilmu merupakan perkara penting yang diberi perhatian dalam semua aspek.

    FEKIm UNISSA mempunyai empat bidang kepakaran teras iaitu perniagaan ekonomi perbankan dan kewangan, selain mengajarkan ilmu umum, ilmu dan nilai Islam juga diserapkan secara langsung ke dalam kandungan semua kursus bagi setiap program prasiswazah iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam (BScIF), Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBM), dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Islam (BIE).

    Adunan ilmu wahyu dan ilmu umum ini telah membentuk kesatuan kurikulum yang bersepadu, holistik dan seimbang antara dimensi kehidupan duniawi dan kehidupan ukhrawi.

    Secara umumnya, kursus yang diajarkan dapat diklasifikasikan kepada tiga kategori utama, iaitu kursus dalam ketegori ‘Iman’, kursus dalam ketegori ‘Amal’ dan kursus dalam ketegori ‘Akhlak’.

    Setiap tempoh lima tahun, struktur program dan kandungan kursus akan dinilai semula, diulang semak dan dikemaskini untuk memastikannya tetap relevan dan kontemporari.

    Pihak industri yang berkaitan juga akan dilibat samakan dalam proses pengemaskinian tersebut sebagai pendekatan multistakeholder yang lebih berkesan bagi memastikan struktur dan kursus program selari dengan keperluan industri semasa selain memastikan para graduan boleh dipasarkan

    Penyepaduan ilmu juga mengambil tempat dalam semua program akademik di peringkat pengajian siswazah; Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah. Suntikan Tasawwur Islami menjadi salah satu aspek penting yang sangat dititik beratkan dalam setiap kajian tesis pelajar agar mereka dapat menerapkan konsep Syariat dan ajaran Islam dalam segenap aspek kehidupan secara universal dan komprehensif.

    Dr Abdul Nasir mengongsikan bahawa tujuan kurikulum bersepadu ini digubal untuk memperkasa dan mempergiatkan usaha fakulti dalam sama-sama mendukung agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan memfokuskan empat matlamat utama iaitu, memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua tanpa mengira lapisan umur (SDG ke-3), mempromosikan perkembangan ekonomi mampan dan menyeluruh, pekerjaan penuh dan produktif, dan pekerjaan yang layak kepada semua (SDG ke-8), membina infrastruktur yang kukuh, mempromosikan industri yang menyeluruh dan mampan serta merangsang inovasi (SDG ke-9); dan memastikan corak penggunaan dan pengeluaran yang mampan (SDG ke-12).

    Walau bagaimanapun, semua usaha yang dilakukan untuk mencapai SDG yang diharapkan mestilah berada dalam lingkungan dan batas Objektif Syariah (Maqasid al-Syariah) yang mempertimbangkan kemaslahatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

    Kerangka kerja ini dijadikan sebagai panduan dan rujukan asas bagi semua aspek kerja di FEKIm UNISSA sama ada dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), Penyelidikan dan Penerbitan, Latihan dan Konsultasi, dan juga tidak terkecuali dalam aspek Khidmat Masyarakat.

    Pengintegrasian ilmu wahyu dan ilmu umum secara menyeluruh dan komprehensif ini menjadikan FEKIm UNISSA sebuah fakulti yang mempunyai ciri khasnya yang tersendiri sehingga dapat menarik pelajar antarabangsa dari 17 buah negara (Asia dan Afrika) untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat tinggi.

    Penerimaan yang meluas ini telah melayakkan FEKIm UNISSA menjadi penerima ulung Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) dalam kategori Kepimpinan Pasaran Pendidikan dalam Perbankan dan Kewangan Islam sebanyak tiga kali berturut-turut dari Cambridge International Finance Advisor (IFA) United Kingdom, iaitu pada tahun 2019 di Cape Town, 2020 di Islamabad, dan 2021 di United Kingdom.

    Pada tahun 2021, program BScIF telah diiktiraf sebagai sebuah program akademik yang bertaraf Lima Bintang dan menduduki tempat teratas dalam Kategori Program Gunaan dengan mendapat 752.5 mata.

    Program BScIF telah memperoleh lima bintang dalam tiga kategori teras, iaitu Penjajaran Strategik, P&P, dan Pengantarabangsaan. Penilaian tersebut telah dijalankan oleh Universiti Antarabangsa Vietnam dengan kerjasama ASEAN University Network (AUN).

    Sementara pada tahun 2022, Kursus Wajib Program BBM iaitu Entrepreneuship Project telah diiktiraf sebagai sebuah kursus berimpak tinggi yang bertaraf dunia apabila ditempatkan di tangga ke 51-100 dalam World’s Universities with Real Impact (WURI) Ranking 2022 bagi kategori Entrepreneurial Spirit.

    Penilaian ini telah dilakukan oleh Institute for Policy and Strategy on National Competitiveness, Korea Selatan dan disokong oleh empat buah organisasi antarabangsa iaitu Hanseatic League of Universities, Institute for Industrial Policy Studies, United Nation Institute for Training and Research, dan Tailor Institute Franklin University, Switzerland.

    Manakala pada tahun ini Institut Perbankan dan Kewangan Malaysia (IBFIM) telah mengiktiraf usaha gigih yang dilakukan oleh FEKIm dalam membangun bakat dan kemahiran profesional dalam bidang kewangan Islam apabila mengiktiraf UNISSA sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) antarabangsa pertama yang menerima IBFIM’s Outstanding Industry Collaboration Award.

    Ringkasnya, kecemerlangan dan pengiktirafan semasa yang diraih oleh FEKIm UNISSA telah mengangkat kedudukannya menjadi sebuah pusat pengajian tinggi Islam tempatan yang berprestij dan disegani kerana dapat bersaing dan duduk sama tinggi dan sama rendah dalam saf yang sama dengan IPT ternama di luar negeri.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...