Thursday, March 6, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Integrasi pendidikan alam sekitar dalam kurikulum

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Sebagai langkah proaktif, Kementerian Pendidikan kini dalam proses merangka Pelan Pendidikan Hijau, yang memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif utama bagi membudayakan kelestarian dalam sistem pendidikan negara.

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh mendedahkan perkara itu semasa menyambut baik sokongan yang diutarakan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin dan Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir mengenai usaha Kementerian Pendidikan dalam pembangunan modal insan bagi sektor hijau.

    Yang Berhormat Datin semasa hari kelima Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini, turut mengongsikan bahawa pendidikan alam sekitar akan diintegrasikan dalam kurikulum di semua peringkat bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar terhadap isu kelestarian.

    Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan projek akan diterapkan bagi memastikan pelajar memperoleh kefahaman yang lebih mendalam serta kemahiran praktikal berkaitan kelestarian.

    Selain itu, katanya, institusi pendidikan akan dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi hijau seperti tenaga suria, sistem pengumpulan air hujan dan reka bentuk bangunan cekap tenaga secara berfasa.

    Gambar Unsplash

    Langkah itu bukan sahaja mengurangkan jejak karbon tetapi juga berperanan sebagai platform pembelajaran langsung kepada pelajar mengenai teknologi mampan.

    Menurutnya lagi, institusi pendidikan akan melaksanakan operasi hijau melalui dasar kitar semula, pengurangan plastik sekali guna dan konsep Zero Waste, begitu juga dengan sekolah-sekolah digalakkan menerapkan konsep kampus hijau dengan taman pembelajaran ekologi bagi pembelajaran interaktif.

    Inisiatif itu bertujuan menanam budaya hijau dan menjadikan sekolah sebagai model kelestarian untuk masyarakat.

    Dalam mencapai usaha itu, Kementerian Pendidikan juga akan melibatkan diri bersama masyarakat secara menyeluruh dan pihak industri bagi memastikan usaha pendidikan hijau tidak terhad kepada bilik darjah sahaja, malah turut diperkukuhkan melalui program seperti kempen kesedaran komuniti, pertandingan inovasi hijau bagi menggalakkan kreativiti serta penyelesaian lestari.

    Sementara itu, institusi pengajian tinggi akan digalakkan untuk memfokuskan penyelidikan kepada teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui serta memperkukuh kerjasama dengan industri bagi mengaplikasikan hasil penyelidikan dalam sektor ekonomi hijau.

    Bagi memastikan tenaga kerja negara bersedia menghadapi peralihan ke ekonomi hijau, institusi TVET dan pengajian tinggi akan menyediakan laluan kerjaya hijau (Green Career Pathway) dengan menawarkan kursus dan latihan berkaitan tenaga hijau, pengurusan alam sekitar serta industri hijau.

    Dengan adanya pelan ini, ianya diharapkan dapat meningkatkan daya saing negara melalui pendidikan hijau yang akan melahirkan pelajar dengan kemahiran relevan untuk sektor ini.

    Secara tidak langsung, komitmen terhadap kelestarian dapat menarik pelabur dan syarikat global kerana ia meningkatkan reputasi Negara Brunei Darussalam sebagai negara yang proaktif dalam kelestarian serta menarik ekopelancongan dan kerjasama antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda