Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan soal integriti perkhidmatan awam, ia tidak boleh roboh, tetapi mesti sentiasa teguh kerana jika integriti roboh, pelbagai perkara negatif pasti akan berlaku.
Ini seperti penyelewengan untuk kepentingan peribadi, rasuah dan sebagainya, sedangkan yang kita mau ialah sebuah perkhidmatan awam yang bersih, amanah dan berkesan.
Baginda bertitah menekankan perkara itu sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-30, 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa, hari ini.
Dalam titah baginda turut mengongsikan, satu pindaan keatas Peraturan-Peraturan Am atau ‘General Orders’ telah dilaksanakan dan akan dikuatkuasakan sedikit masa lagi.
Pindaan itu dibuat, tegas Baginda, adalah sesuai dengan keperluan semasa sambil terus menekankan kepada aspek kesaksamaan dan ketelusan dalam semua tindakan yang mana semua ini turut berkaitan dengan urus tadbir perkhidmatan awam sendiri.
Baginda turut bertitah, kementerian juga dikehendaki untuk memperinci penyediaan pelan masing-masing sebagai dokongan kepada kajian mengoptimakan Sumber Manusia atau Manpower Optimisation Plan yang mana di terajui bersama oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi ketika ini.
Ini juga tidak terkecuali, penekanan kepada pembangunan kapasiti dan kompetensi setiap warga kerja dengan kemahiran, pengetahuan dan nilai asas yang diperlukan.
Baginda turut bertitah, dalam tempoh tiga dekat ini pelbagai cabaran telah diharungi untuk menguji kedaya tahanan perkhidmatan awam.
Menurut Baginda, setiap penjawat awam hendaklah sentiasa peka dengan perubahan semasa di samping tidak lupa mengharapkan petunjuk Allah S.W.T. dalam melaksanakan apa juga tugas dan tanggungjawab.
Selain memiliki idea-idea baharu sebagai penambahbaikan proses kerja, peraturan, sistem penyampaian dan juga penghasilan, dan ini juga dalam kepimpinan di mana setiap pemimpin dikehendaki bijak dalam mempelopori potensi kerja, khasnya potensi teknologi digital sebagai asas kepada transformasi perkhidmatan yang berimpak besar.
Baginda dalam titahnya turut menyentuh mengenai transformasi perkhidmatan dan telah memperkenankan bagi peralihan sebahagian besar proses pengambilan tenaga kerja daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ke Kementerian-Kementerian khusus bagi Bahagian dua ke bawah.
Di samping untuk meningkatkan akauntabiliti, titah Baginda, ia juga untuk mempercepatkan lagi pengisian kekosongan jawatan dengan memanfaatkan sepenuhnya Public Service Recruitment System (PSCR) yang sedia ada.
Dalam titah Baginda sempena 30 tahun Sambutan HPA, satu anugerah telah diperkenalkan dan Baginda menyambut baik dan menghargai sokongan Jawatankuasa Penilai Anugerah Penghargaan Khas Jasawan Perkhidmatan Awam kerana telah mengetengahkan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien selaku tokoh besar ‘Arkitek Brunei Moden’.
Antara peristiwa penting dalam pemerintahan Al-Marhum, titah Baginda, adalah termaktubnya Perlembagaan Brunei pada 1959 yang telah membawa Brunei Darussalam berkerajaan sendiri.
“Legasi kepimpinan Al-Marhum telah melakar pelbagai kemajuan yang dapat dinikmati sehingga hari ini, khasnya bagi bidang utama seperti Ugama, Pendidikan, Pertahanan, Pentadbiran Awam dan Kebajikan untuk rakyat dan penduduk,” titah Baginda.
Titah Baginda lagi, kedaya tahanan sektor awam negara ini adalah berpaksikan iltizam dan sumbangan Al-Marhum yang berimpak besar kepada kestabilan, kemakmuran dan kemajuan seumumnya.
Baginda dalam titahnya sukacita memasyhurkan, bahawa Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam adalah ‘Tokoh Jasawan Negara’.
“Semoga Allah S.W.T. merahmati roh Al-Marhum dengan menghimpunkan Baginda ke dalam kalangan hambanya yang saleh,” titah Baginda.
Pada akhir titah Baginda mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas usaha dan dedikasi yang dicurahkan dan semoga penganugerahan ini akan mencetuskan semangat motivasi dan sumber inspirasi kepada seluruh penjawat awam.
“Penghargaan kepada setiap penjawat awam yang masih berkhidmat dan yang telah bersara atas sumbangan dan jasa bakti kepada pembangunan negara, ada kepada semua Jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam tahun ini,” titah Baginda.