BRUSSELS, 22 SEPT – Suruhanjaya Eropah mengenakan denda baharu sebanyak AS$400 juta ke atas pengeluar cip AS, Intel, hari ini selepas mahkamah Kesatuan Eropah (EU) membatalkan denda sebelumnya yang merupakan rekod bagi penyalahgunaan dominannya dalam pasaran cip komputer.
Kes itu merupakan salah satu daripada banyak pertarungan undang-undang yang berlarutan menentang syarikat teknologi besar yang telah dihadapi oleh EU, pertelingkahan yang mendorong Brussels untuk memperkenalkan sekatan baharu yang ketat mengenai bagaimana syarikat gergasi digital menjalankan perniagaan di Eropah.
Penguatkuasa anti persaingan EU berkata, Intel telah terlibat dalam “amalan anti-persaingan yang bertujuan untuk mengecualikan pesaing daripada pasaran yang berkaitan”.
Suruhanjaya itu berkata, ia mengenakan semula denda sebahagiannya “untuk penyalahgunaan kedudukan dominan yang wujud sebelum itu dalam pasaran untuk cip komputer yang dipanggil unit pemprosesan pusat x86”.
Mahkamah EU, di Luxembourg tahun lalu, membatalkan denda sebanyak 1.06 bilion euro yang dikenakan pada 2009, selepas ia mendapati bahawa Brussels gagal membuktikan amalan tidak bersaing secara memadai.
Kes awal EU berdasarkan dakwaan penyalahgunaan pasaran antara 2002 dan 2007, tetapi bermula sejak tahun 2000 apabila aduan terhadap Intel pertama kali dikemukakan kepada suruhanjaya itu.
Suruhanjaya itu menjatuhkan hukuman denda ke atas Intel selepas mengatakan syarikat itu telah menawarkan rebet harga kepada pelanggan untuk menggunakan cip komputernya sendiri sebagai keutamaan untuk menyaingi AMD.
Intel pada masa itu menguasai pasaran untuk CPU x86 dengan bahagian 70 peratus dalam tempoh lebih lima tahun ia dituduh melanggar peraturan anti persaingan EU. – AFP
